Skip to main content
Federal TerritoryIssues Affecting the RakyatJawapan ParlimenLembah PantaiParliament

Jawapan-jawapan bagi Soalan Parlimen Penggal ke-5 Mesyuarat Kedua 2012

By 18 June, 2012February 18th, 2020No Comments

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera…

Berikut adalah jawapan-jawapan bagi soalan yang saya bangkitkan di dalam Sesi Parlimen Mesyuarat ke-2 bagi Penggal ke-5 ini.

Soalan Jawab Lisan

11 JUN 2012 ( ISNIN )

Puan Nurul Izzah Binti Anwar [ Lembah Pantai ] minta MENTERI PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN menyatakan tahap pelaksanaan Jawatankuasa Media yang dicadangkan oleh Kerajaan. Adakah jawatankuasa media ini hanya akan ditubuhkan setelah pemansuhan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan digazet seperti industri media

JAWAPAN :             

Tuan Yang di-Pertua,

Penubuhan Majlis Perundingan Media Negara masih lagi di peringkat cadangan. Kerajaan masih lagi mengkaji bagaimana struktur majlis tersebut akan dibentuk dan Kerajaan mengalu-alukan kertas cadangan daripada industry media mengenai Majlis Media Malaysia seperti yang dihasratkan.

——————————————————————————————————————————–

12 JUN 2012 ( SELASA )

Puan Nurul Izzah Binti Anwar [ Lembah Pantai ] minta MENTERI PENGANGKUTAN menyatakan kos perbelanjaan dan status prestasi system kawalan udara yang menggunakan system Human Machine Interface yang dinaik taraf oleh Advanced Air Traffic Systems (M) Sdn. Bhd. (AAT). Nyatakan sama ada sistem tersebut menepati piawai antarabangsa dan berjalan lancar.

Jawapan :                

Tuan Yang Di Pertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat Lembah Pantai, kos perbelanjaan sistem kawalan udara yang menggunakan Human Machine Interface secara keseluruhannya adalah sebanyak EURO(€)26,050,000.00 (atau bersamaan RM128,426,500.00). Manakala status prestasi sistem tersebut berada di tahap yang baik di mana sehingga kini belum terdapat sebarang insiden yang disebabkan oleh sistem ini.

Berhubung dengan pertanyaan sama ada sistem tersebut menepati piawai antarabangsa dan berjalan lancar, sistem yang dibekalkan oleh pihak kontraktor tersebut adalah memenuhi piawaian dan amalan iaitu International Civil Aviation Organization (ICAO) dan ianya berjalan dengan lancar.

 

——————————————————————————————————————————–

13 JUN 2012 ( RABU )

Puan Nurul Izzah Binti Anwar [ Lembah Pantai ] minta MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN DAN KESEJAHTERAAN BANDAR menyatakan apakah perancangan jangka masa panjang Jalan Tun Sambathan di bawah Projek Little India. Nyatakan juga tempoh pengekalan laluan bas menerusi Jalan Sultan Abdul Samad dan jumlah sekolah dan tempat-tempat ibadat yang terkesan.

Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat dari Lembah Pantai, Kementerian Wilayah Pesekutuan dan Kesejahteraan Bandar serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengadakan beberapa siri perjumpaan dengan Pertubuhan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO’s) yang terlibat di kawasan berkenaan bagi mendapatkan pandangan mereka. Hasil daripada perjumpaan berkenaan, maka beberapa perubahan terhadap sistem lalulintas di kawasan itu telah dijalankan termasuklah sistem laluan bas. Maklumbalas yang diperolehi yang turut merangkumi kewujudan sekolah dan tempat ibadat di kawasan berkaitan serta tempoh percubaan untuk sistem laluan bas dengan tempoh sekitar tiga bulan yang telah dibuat tersebut, maka sistem yang dijalankan sekarang ini adalah dikira yang terbaik untuk kawasan Brickfields.

Selain daripada itu, DBKL juga telah membina tujuh (7) bonggol di kawasan laluan kenderaan di Jalan Sultan Abdul Samad yang merangkumi kawasan sekolah dan juga tempat beribadat di situ. Pembinaan bonggol ini adalah bertujuan untuk meningkatkan tahap keselamatan serta mengurangkan kelajuan kenderaan yang bergerak melalui jalan tersebut.

Oleh itu, sehingga kini Kementerian dan DBKL tidak mempunyai perancangan untuk mengubah skim aliran lalulintas di Jalan Tun Sambathan dan Jalan Sultan Abdul Samad tersebut. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, keseluruhan Projek Little India telah pun siap kecuali tempat letak kereta bertingkat yang sedang dalam pembinaan di bekas tapak Restoran The Pines yang dijangka siap pada penghujung tahun 2013 dan satu lagi juga dirancang untuk dibina di Jalan Sultan Abdul Samad.

 ——————————————————————————————————————————–

14 JUN 2012 ( KHAMIS )

Y.B PUAN NURUL IZZAH BINTI ANWAR [ LEMBAH PANTAI ] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan berapakah perbelanjaan pihak Kerajaan dan Khazanah bagi kos juru runding dengan butiran kos berkaitan untuk melaksanakan dan kemudian membubarkan kerjasama Mas-Air Asia

JAWAPAN

Tuan Yang Di Pertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, ketika melaksanakan pertukaran saham Malaysian Airline System Bhd (MAS) dan AirAsia Bhd (AirAsia) di antara Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Tune Air Sdn Bhd (Tune Air) pada bulan Ogos 2011, Khazanah telah melantik perunding-perunding luar bagi tujuan khusus, di antaranya khidmat rundingcara kewangan, strategik (penyelidikan dalam sektor penerbangan), komunikasi dan perundangan.

2. Perunding-perunding tersebut terdiri dari bank pelaburan, syarikat rundingcara strategik, syarikat komunikasi dan firma perundangan. Secara ringkasnya, jumlah keseluruhan yuran rundingcara yang telah dibayar oleh Khazanah kepada syarikat-syarikat tersebut hanyalah sebanyak 0.42% daripada nilai janji niaga atau transaksi keseluruhan. Kadar ini adalah jauh lebih rendah berbanding kadar pasaran bagi khidmat perunding yang biasanya dibayar oleh institusi pelaburan lain iaitu antara 0.1% hingga 1.5%.

3. Merujuk kepada jumlah kos pembatalan pertukaran saham pula, ia belum dapat pastikan kerana perkara tersebut masih dalam proses untuk dimuktamadkan.

——————————————————————————————————————————–

19 JUN 2012 ( SELASA )

Y.B PUAN NURUL IZZAH BINTI ANWAR [ LEMBAH PANTAI ] minta MENTERI PELAJARAN menyatakan :-

(a) berapa jumlah graduan lepasan Sarjana Muda Pendidikan Islam (SMPI) ditawarkan penempatan di sekolah bagi sesi 2012; dan

(b) mengapakah Kementerian mengambil masa agak lama untuk penempatan graduan ini.

JAWAPAN

Tuan Yang Di Pertua,

(a) dan (b)

Pelantikan guru baru dilaksanakan berdasarkan kekosongan jawatan pada satu-satu tahun. Sebagai contoh pada tahun 2011 sejumlah 8425 calon telah ditempatkan dan pada tahun 2012 sejumlah 9501 guru baru dilantik berkhidmat di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Bagi sesi tahun 2012, sejumlah 439 graduan opsyen Pendidikan Islam telah ditawarkan pelantikan. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, antara sebab penempatan graduan ini tidak dapat diuruskan pada tahun 2011 kerana tiada kekosongan jawatan baru. Namun, graduan pendidikan yang telah menamatkan pengajian pada tahun 2011 telah menjalani temuduga SPP pada bulan Januari hingga Mac 2012 dan calon yang telah Berjaya dalam temuduga SPP telah pun ditempatkan di sekolah pada 23 Mei 2012.

——————————————————————————————————————————–

20 JUN 2012 ( RABU )

Puan Nurul Izzah Binti Anwar [ Lembah Pantai ] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan apakah tindakan Kerajaan berkenaan rekomendasi-rekomendasi SUHAKAM berkait dengan 4 inkuiri tentang pengendalian perhimpunan aman. Nyatakan juga mengapa SUHAKAM tidak dipilih untuk menyiasat perhimpunan aman Bersih 3.0.

JAWAPAN :

Tuan Yang DiPertua,

Saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli Yang Berhormat Lembah Pantai yang mengemukakan pertanyaan.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat dan Dewan yang mulia ini, Kerajaan telah mengambil tindakan yang sepatutnya terhadap sebarang rekomendasi berkaitan dengan perhimpunan aman selaras dengan peruntukan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Tuan Yang DiPertua,

Isu pemilihan SUHAKAM untuk menyiasat perhimpunan di Dataran Merdeka pada 28 April 2012 seperti yang dimaksudkan oleh Ahli Yang Berhormat adalah tidak seharusnya timbul. Ini kerana pihak SUHAKAM sendiri telahpun menubuhkan panel siasatan awam berdasarkan bidang kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) 1999.

——————————————————————————————————————————–