Skip to main content
Soalan Parlimen

Soalan Lisan Rabu 13 Jun 2012

By 18 June, 2012February 18th, 2020No Comments

PERTANYAAN : LISAN

DARIPADA : YB. PUAN NURUL IZZAH BINTI ANWAR [ LEMBAH PANTAI ]

TARIKH : RABU, 13 JUN 2012

RUJUKAN : 07 [PR-1252-L50533]

SOALAN :

Puan Nurul Izzah Binti Anwar [ Lembah Pantai ] minta MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN DAN KESEJAHTERAAN BANDAR menyatakan apakah perancangan jangka masa panjang Jalan Tun Sambathan di bawah Projek Little India. Nyatakan juga tempoh pengekalan laluan bas menerusi Jalan Sultan Abdul Samad dan jumlah sekolah dan tempat-tempat ibadat yang terkesan.

JAWAPAN:

Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat dari Lembah Pantai, Kementerian Wilayah Pesekutuan dan Kesejahteraan Bandar serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengadakan beberapa siri perjumpaan dengan Pertubuhan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO’s) yang terlibat di kawasan berkenaan bagi mendapatkan pandangan mereka. Hasil daripada perjumpaan berkenaan, maka beberapa perubahan terhadap sistem lalulintas di kawasan itu telah dijalankan termasuklah sistem laluan bas. Maklumbalas yang diperolehi yang turut merangkumi kewujudan sekolah dan tempat ibadat di kawasan berkaitan serta tempoh percubaan untuk sistem laluan bas dengan tempoh sekitar tiga bulan yang telah dibuat tersebut, maka sistem yang dijalankan sekarang ini adalah dikira yang terbaik untuk kawasan Brickfields.

Selain daripada itu, DBKL juga telah membina tujuh (7) bonggol dikawasan laluan kenderaan di Jalan Sultan Abdul Samad yang merangkumi kawasan sekolah dan juga tempat beribadat di situ.Pembinaan bonggol ini adalah bertujuan untuk meningkatkan tahap keselamatan serta mengurangkan kelajuan kenderaan yangbergerak melalui jalan tersebut. Oleh itu, sehingga kini  Kementerian dan DBKL tidak mempunyai perancangan untuk mengubah skim aliran lalulintas di Jalan Tun Sambathan dan Jalan Sultan Abdul Samad tersebut. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, keseluruhan Projek Little India telah pun siap kecuali tempat letak kereta bertingkat yang sedang dalam pembinaan di bekas tapak Restoran The Pines yang dijangka siap pada penghujung tahun 2013 dan satu lagi juga dirancang untuk dibina di Jalan Sultan Abdul Samad.