Skip to main content
Soalan Parlimen

Jawapan Soalan-soalan Parlimen Mesyuarat Pertama Penggal ke-5

By 19 March, 2012February 18th, 2020No Comments

Puan Nurul Izzah binti Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar menyatakan:

(a) kadar faedah keseluruhan skim kepada pembeli serta pecahan yang akan diterima oleh Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan di dalam Skim Pembiayaian Khas Pembelian PPR-MTEN dan PA DBKL; dan

(b) sebab-sebab Kerajaan tidak menggunakan kaedah secara ‘grant’ atau pinjaman pada kadar faedah 2%


JAWAPAN:       

Izinkan saya untuk menjawab pertanyaan Ahli Yang Berhormat dari Lembah Pantai. Ini bersekali dengan pertanyaan daripada Ahli Yang Berhormat Batu pada 22 Mac 2012, Khamis. Ahli Yang Berhormat Bukit Bintang pada 26 Mac 2012, Isnin.

Ini kerana pertanyaan-pertanyaan tersebut adalah bagi isu yang sama dan saling berkaitan iaitu Skim Pembiayaan Khas Penjualan Rumah PPR-MTEN dan PA DBKL. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat dari Lembah Pantai melalui Skim Pembiayaan Khas Penjualan Rumah PPR-MTEN dan Perumahan Awam DBKL, kadar keuntungan ke atas pinjaman yang dikenakan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja kepada syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan adalah sebanyak 5.5%. Mana pembeli akan dikenakan kadar keuntungan 6.5% ke atas setiap pembiayaan bagi membiayai pembiayaan rumah mereka.

Sistem pembiayaan di bawah atas konsep Islamic iaitu Ijarah Muntahiyah Bi-Tamlik. Perbezaan kadar keuntungan 1% tersebut adalah bagi menampung kos operasi syarikat perumahan Wilayah Persekutuan. Dalam pada itu sebahagian daripada baki 1% ini juga akan digunakan untuk menampung kos yang dikenakan oleh institusi kewangan sebagai charge pengutipan bayaran balik pembiayaan. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, KWSP telah mensyaratkan supaya pengutipan bayaran balik ini adalah melalui institusi kewangan yang kukuh yang telah dipersetujui oleh KWSP. Seterusnya, mengenai persoalan mengapa kerajaan tidak menggunakan grant ataupun pinjaman kepada kaedah faedah 2% bagi melaksanakan skim pembiayaan ini adalah kerana skim ini tidak melibatkan keseluruhan rakyat.

Akan tetapi, ia dirangka khusus untuk golongan masyarakat yang sedang menyewa rumah PPRMTEN dan Perumahan Awam DBKL di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sahaja. Tuan Yang di-Pertua bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat dari Batu pula, kerajaan melancarkan Skim Pembiayaan Khas Penjualan PPR-MTEN dan Perumahan Awam DBKL adalah bertujuan untuk membantu penyewa sedia ada yang mampu dan sanggup untuk membeli rumah yang ditawarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tetapi berhadapan dengan masalah pinjaman dengan institusi kewangan. Dalam masa yang sama, kerajaan tidak meminggirkan mereka yang masih tinggal di kawasan setinggan. Dari semasa ke semasa kerajaan sentiasa memastikan dan berusaha untuk memindahkan golongan ini ke penempatan yang lebih selesa di rumah-rumah PPR dan Perumahan Awam DBKL secara berperingkat-peringkat.

Kerajaan yakin jika sasaran ini tercapai maka lebih ramai penyewa akan menyertai skim ini pada masa akan datang. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat Batu, ada setinggan walaupun disediakan rumah masih enggan berpindah termasuk setinggan di kampung tanah lapang di Batu. Sebagai makluman juga, syarikat perumahan Wilayah Persekutuan tidak akan menjamin apa-apa bentuk bon dalam skim pengambilan khas ini.

Sebaliknya dari segi pinjaman kepada KWSP, setiap unit rumah yang dijual akan dicagarkan kepada pihak KWSP. Selain itu, DBKL akan memberi jaminan pembelian semula rumah-rumah yang mempunyai masalah pembiayaan ataupun pembayaran.

Tuan Yang di-Pertua, seterusnya bagi menjawab isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat dari Bukit Bintang. Suka saya nyatakan di sini bahawa cadangan skim pembiayaan khas ini yang dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bawah kementerian saya dibuat setelah mendapat pelbagai aduan daripada penyewa-penyewa sedia ada di rumah-rumah PPR-MTEN dan Perumahan Awam DBKL tentang kesukaran untuk mereka mendapat pinjaman daripada pihak bank. Untuk makluman setakat ini hanya 716 yang dapat.

Oleh kerana itulah sebabnya kita membantu mereka ini. Kesukaran mendapat pinjaman pihak bank tersebut merupakan antara halangan utama bagi mereka mencapai impian memiliki rumah sendiri. Justeru, skim pembiayaan khas ini merupakan salah satu pilihan kepada penyewa sedia ada selain daripada membuat pinjaman melalui institusi kewangan lain membayar secara tunai ataupun terus kekal menyewa kediaman sedia ada dengan kadar yang ditetapkan oleh kerajaan. Tiada elemen paksaan kepada penyewa untuk memilih skim ini bagi membuat pembelian rumah tetapi kerajaan hanya membantu menyediakan pilihan terbaik kepada mereka yang memerlukan.

Ahli Yang Berhormat perlu faham, proses untuk mewujudkan skim pembiayaan khas ini mengambil masa yang lama. Kementerian telah merangka strategi untuk mewujudkan skim ini dan kemudian dimajukan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan juga ada satu, dua institusi yang lain.

KWSP juga telah mengkaji dan meneliti kebolehlaksanaan ataupun, dengan izin, feasibility scheme ini berdasarkan wiling buyer wiling seller basis. Ini juga telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan selepas kita mendapat tawaran daripada KWSP. Oleh itu tanggapan yang mengatakan kerajaan memaksa KWSP untuk memberikan pinjaman bagi mewujudkan skim ini adalah tidak benar sama sekali. Pada peringkat kementerian pula, DBKL akan memberikan keutamaan tawaran skim pembiayaan khas ini kepada penyewa-penyewa yang mempunyai rekod pembayaran sewa yang baik sahaja, dengan itu kepentingan semua pihak akan terpelihara.

Soalan Tambahan

 

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Menteri di atas jawapan yang diberikan. Saya hanya ingin menanyakan apakah jaminan Yang Berhormat Menteri bahawa perjanjian awal dengan KWSP iaitu RM300 juta akan dimeterai kerana sekitar minggu lepas pihak KWSP menjelaskan perjanjian belum lagi dimeterai tetapi Menteri sudah mengumumkan terlebih dahulu sekitar tiga minggu sebelumnya. Lebih-lebih lagi agak menggerunkan kerana pada bulan Julai 2010, pengumuman Yang Berhormat Menteri bahawa sembilan bank akan terlibat dalam skim pinjaman pemilikan perumahan ini gagal, itu peringkat pertama.

Kedua, saya menyambut baik penjelasan Yang Berhormat Menteri tentang kadar faedah 6.5% yang diberikan kepada mereka yang mahu memiliki rumah ini. Namun, memetik kata-kata Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, kritikannya 6.5% terlalu tinggi.

Kemungkinan keuntungan akan dijana akan dikaut oleh syarikat perumahan Wilayah Persekutuan yang berada di bawah seliaan Yang Berhormat Menteri selaku Pengerusi Yayasan Wilayah Persekutuan. Ini mungkin menyebabkan konflik kepentingan kerana 1% jika dikira pada RM300 juta pinjaman KWSP, sudah RM3 juta setahun. Saya mahu menanyakan, adakah Yang Berhormat bersedia menimbangkan, mengurangkan kadar faedah kerana dalam projek Fidlot Kebangsaan misalan, pinjaman RM250 juta, kadar faedah 2%. Jadi ini orang miskin yang dikenal pasti sedang menyewa dan gaji pun kurang daripada RM1,000.00 sebulan. Mohon jawapan dengan Yang Berhormat Menteri kerana kita tidak mahu membebankan mereka ini dengan kadar faedah 6.5%. Terima kasih.

Jawapan :

Jadi, berbalik kepada isu tadi, berkenaan dengan bahawa skim ini telah dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada Julai 2009, diumumkan penjualan rumah pada Julai 2009 selepas 100 hari. Selepas itu kita telah mengenal pasti beberapa bank yang mengikut skim ini, yang mengatakan boleh memberikan pinjaman tetapi setelah kita buat roadshow di seluruh kawasan-kawasan PPR dan juga perumahan awam dan mereka tidak dapat menawarkan. Sebab-sebab saya tidak tahu, ada beberapa sebab tetapi walau bagaimanapun sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita mencari kaedah-kaedah lain bagaimana untuk membantu golongan miskin ini.

Oleh sebab itulah saya melalui kementerian, kita mengenal pasti vehicle yang paling sesuai adalah Yayasan Wilayah Persekutuan yang juga di bawah naungan Kementerian Wilayah Persekutuan. Pengerusinya ialah Menteri Wilayah Persekutuan, timbalan pengerusi adalah Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan. Jadi, kalau esok Yang Berhormat menjadi Menteri Wilayah Persekutuan, Yang Berhormat juga akan mengambil alih Yayasan Wilayah Persekutuan. Jadi, bermakna bukan. Jadi, bermakna. Soal kepentingan peribadi tidak timbul sama sekali dan untuk makluman.

Satu peratus ini Yang Berhormat, adalah untuk menampung kos yang dikenakan oleh institusi kewangan yang akan dicadangkan oleh KWSP. Ini adalah surat tawaran daripada KWSP, tidak ada unsur yang mengatakan mereka hendak menarik balik, tidak ada. Hanya oleh sebab Yang Berhormat daripada Pakatan Rakyat telah approach mereka, mereka hanya memberikan peringkat pertama ini RM300 juta walaupun kelulusan secara dasar adalah RM1.5 bilion untuk golongan miskin yang kita sentiasa perjuangkan. Kita memperjuangkan orang miskin dalam bandar tuan-tuan dan puan-puan.

Dan untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kalaulah 2% pun, kalaupun 2%…Yang Berhormat kata 2%. Saya bagi buat kirakira. Yang Berhormat ada satu cadangan yang diberikan oleh Yang Berhormat di dalam artikel inilah, mengatakan mengapa DBKL tidak boleh memberi sewa dan bayar mereka sampai mereka dapat beli. Kalau ikut kiraan saya, kalau bayar RM124, mereka akan mengambil masa hampir-hampir 50 ataupun 60 tahun. Semua yang membeli sudah mati pun. Jadi, mereka tidak akan mendapat nikmat. Saya memberikan perbandingan Yang Berhormat, kalau 2% ini daripada bekas pegawai tertinggi Bank Negara dan juga daripada CEO daripada salah satu merchant bank. Jikalaulah pinjaman RM 36,100.00, kalau dipinjam dengan 6.5%/25 tahun, bayaran yang kita kenakan daripada Yayasan Wilayah Persekutuan dengan kerjasama KWSP ini, hanya RM243.00. Jikalau dikenakan 2.5%, hanya RM161.00. Perbezaannya hanya RM80.00 sahaja. Jadi, saya kata Satu yang tidak banyak beza.

 —————————————————————————————————————————

Puan Nurul Izzah Binti Anwar [ Lembah Pantai ] minta PERDANA MENTERI menyatakan kesediaan meminda Artikel 121 Perlembagaan Malaysia kepada bentuk asalnya.

JAWAPAN:        Dato’ seri Mohamed Nazri abdul aziz : MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI

Tuan Yang di-Pertua,

1.      Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan mengenai dua Mahkamah Tinggi yang setara bidang kuasa dan tarafnya iaitu Mahkamah Tinggi di Malaya dan Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, serta mahkamah bawahan yang diperuntukkan oleh undang-undang Persekutuan.  Mahkamah-mahkamah Tinggi dan mahkamah-mahkamah bawahan itu hendaklah mempunyai apa-apa bidang kuasa dan kuasa yang diberikan oleh atau di bawah undang-undang Persekutuan.

2.      Sebelum pindaan yang dibuat kepada Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1988, Perkara 121 memperuntukkan bahawa “…the judicial power of the Federation shall be vested in two High Courts of co-ordinate jurisdiction and status, namely … the High Court of Malaya … and … the High Court of Borneo … and in such inferior courts as may be provided by federal law.”.

3.      Pindaan yang dibuat pada tahun 1988 hanya menggantikan perkataan “vested” kepada “there shall be two High Courts …”.  Sementara itu, perkataan “the jurisdiction … as may be provided by federal law” masih dikekalkan.  Justeru, maksud Perkara 121 kekal tidak berubah, sebelum dan selepas pindaan pada tahun 1988, bahawa kuasa kehakiman mahkamah tinggi dan mahkamah bawahan adalah sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang Persekutuan.

4.      Perkara ini juga telah diputuskan dalam kes PP lawan Kok Wah Kuan [2007] 6 CLJ 341.  Sehubungan dengan itu, Kerajaan tidak bercadang untuk meminda Perkara 121 kepada bentuk sebelum pindaan pada tahun 1988, kerana peruntukan yang sedia ada ini sememangnya mencerminkan bahawa Malaysia mempraktikkan pengasingan kuasa (separation of power) antara badan kehakiman, eksekutif dan perundangan, sejajar dengan konsep pengasingan kuasa dalam sistem demokrasi.

5.      Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan suatu sistem kawalan dan imbangan (check and balances) yang mencukupi dan menyeluruh terhadap sebarang kelebihan atau penyalahgunaan kuasa melalui doktrin pengasingan kuasa (separation of powers) dalam Kerajaan.  Konsep pengasingan kuasa antara kehakiman, eksekutif dan perundangan telah jelas dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya melalui Bahagian IV (Bab 3 bagi Badan Eksekutif dan Bab 4 bagi Badan Perundangan Persekutuan) dan Bahagian IX bagi Kehakiman.  Setiap badan ini mempunyai kuasa eksklusif yang berbeza antara satu sama lain dan setiap daripadanya dilindungi daripada pencerobohan (encroachment) kuasa oleh yang lain.  Sekian, terima kasih.

—————————————————————————————————————————

Puan Nurul Izzah binti Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Kesihatan menyatakan:

a) adakah sebuah jawatankuasa pilihan akan diwujudkan bagi memastikan skim cadangan kementerian 1Care dapat dibincangkan oleh semua ahli-ahli dewan rakyat sebelum diputuskan.

b) nilai permulaan peratusan pendapatan yang akan dikenakan kepada pengguna di dalam skim 1Care

 

Tuan Yang di-Pertua,

Saya memohon untuk menjawab pertanyaan ini secara bersekali dengan 15 soalan-soalan lain yang menyentuh isu berkaitan 1Care iaitu pertanyaan daripada:

     i)        Tuan Hee Loy Sian [ Petaling Jaya Selatan ] bertarikh 19/03/2012;

    ii)        Puan Nurul Izzah Binti Anwar [ Lembah Pantai ] bertarikh 19/03/2012;

  iii)        Tuan Charles Anthony A/L R.Santiago [Klang] bertarikh 19/03/2012;

  iv)        Datuk Tiong Thai King [ Lanang ] bertarikh 19/03/2012;

   v)        Dr. Tan Seng Giaw [ Kepong ] bertarikh 20/03/2012;

  vi)        Tuan Mohd Firdaus bin Jaafar [ Jerai ] bertarikh 26/03/2012;

vii)        Dr. Lee Boon Chye [ Gopeng ] bertarikh 26/03/2012;

viii)        Dr. Mujahid bin Haji Yusof Rawa [ Parit Buntar ] bertarikh 02/04/2012;

  ix)        Datuk Seri Panglima Wilfred Mojilip Bumburing [ Tuaran ]         bertarikh 03/04/2012;

   x)        Tuan Mohamed Azmin bin Ali [ Gombak ] bertarikh 09/04/2012;

  xi)        Tuan William Leong Jee Keen [ Selayang ] bertarikh 09/04/2012;

xii)        Tuan Lim Guan Eng [ Bagan ] bertarikh 09/04/2012;

xiii)        Tuan Charles Anthony A/L R.Santiago [ Klang ] bertarikh 10/04/2012;

xiv)        Tuan Haji Ahmad bin Kasim [ Kuala Kedah ] bertarikh 10/04/2012; dan

xv)        Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli [ Kuala Krai ] bertarikh 10/04/2012.

Tuan Yang Di-Pertua,

Sistem kesihatan negara pada masa ini menghadapi set isu dan cabaran yang berlainan dari yang dihadapi pada masa dulu. Umpamanya, dianggarkan menjelang tahun 2030, populasi berumur 60 tahun ke atas akan melebihi 15% jumlah penduduk negara, berbanding hanya 6% sekarang. Kumpulan warga emas memerlukan lebih banyak perkhidmatan kesihatan dan kita mesti memenuhi keperluan mereka.

Juga, sekarang lebih ramai lagi rakyat Malaysia menghadapi penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, sakit jantung, asma dan kanser. Ini menambahkan lagi beban penyakit negara di samping penyakit berjangkit seperti TB (atau batuk kering) dan penyakit bawaan vektor seperti denggi. Umpamanya, sekarang lebihkurang 2.6 juta rakyat dewasa mengalami penyakit kencing manis. Dari Kajian Kesihatan dan Morbidi tahun 2011 lalu, dianggarkan 15.2% populasi dewasa di Malaysia menghidap kencing manis. Penyakit diabetes ini telah meningkat sebanyak 31% dalam masa hanya 5 tahun (berbanding tahun 2006 dahulu).

Penyakit darah tinggi juga berleluasa. Hampir satu dalam setiap 3 orang dewasa kini mengalami darah tinggi. Penyakit sepanjang hayat ini kini mengancam 5.8 juta rakyat Malaysia. Bilangan rakyat yang mempunyai risiko penyakit bukan berjangkit seperti diabetes dan hipertensi ini amat merungsingkan. Bagi setiap pesakit diabetes yang dirawat, mungkin seorang lagi belum pun dikesan. Bagi setiap 2 pesakit darah tinggi, mungkin ada 3 lagi yang belum ditemui.

Dengan peningkatan warga emas dan penyakit-penyakit kronik ini, pihak Kementerian khuatir sistem kesihatan Malaysia yang berciri dua-tingkat (dengan izin – dichotomy) ini, tidak dapat menampung keperluan negara menjelang 2020 dan usaha murni Kerajaan untuk menyediakan sistem yang berkualiti untuk rakyat. Rakyat Malaysia yang menuju pendapatan tinggi semakin terdedah dan memahami sistem-sistem kesihatan negara maju mempunyai kemahuan atau ekspektasi yang lebih tinggi. Dalam ikhtiar kerajaan untuk memajukan negara, sistem kesihatan Malaysia juga mesti dipertingkatkan agar semua rakyat boleh mendapatkan rawatan kesihatan berkualiti dengan kos yang berpatutan. Pada masa ini, Kerajaan berbelanja 2.7% dari Keluaran Dalam Negara Kasar (atau dengan izin GDP) dan rakyat serta syarikat di Malaysia turut berbelanja 2.3% GDP untuk kesihatan. Akan tetapi, masih terdapat gulungan rakyat yang tidak dapat mengecapi rawatan kesihatan yang termampu walaupun Kerajaan sentiasa meningkatkan tahap klinik dan hospital serta membina fasiliti baru.

Sistem Kesihatan Negara mesti mempunyai daya kelestarian (dengan izin sustainability) kerana ketiga-tiga cabaran yang telah saya huraikan akan meningkatkan lagi kos rawatan, walhal pada masa sekarang pun rakyat telah bersuara meminta Kerajaan mengambil langkah konkrit menangani kos rawatan yang tinggi. Sistem kesihatan yang berunsurkan 2 sektor yang renggang seperti di Malaysia sekarang tidak dapat berfungsi dengan efektif dan efisien. Kemajuan sistem kesihatan dapat memastikan bahawa semua resource atau sumber kesihatan Negara digunakan secara kos-efektif supaya memberikan perkhidmatan kesihatan yang bersepadu dan berkualiti demi peningkatan tahap kesihatan rakyat.

Tidak lama lagi, di bawah Perjanjian Pertubuhan Perdagangan Sedunia atau dengan izin World Trade Organisation agreement, kita perlu membuka sempadan dagangan negara termasuk sektor kesihatan kepada doktor asing dan syarikat-syarikat kesihatan luar negara. Sistem kesihatan negara dan lebih-lebih lagi sektor kesihatan swasta mesti mempunyai daya saing dan kualiti yang tinggi supaya dapat bertahan, malah maju, dan terus memberi perkhidmatan sewajar kepada rakyat Malaysia.

Pada masa ini, terdapat perbezaan dan ketidakseimbangan sumber manusia dan bebanan kerja di antara sektor awam dan swasta. Walaupun terdapat rangkaian fasiliti kesihatan yang meluas di Malaysia, namun taburannya masih tidak seimbang. Adalah benar bahawa sejak merdeka Negara telah mencapai banyak kejayaan dalam meningkatkan tahap kesihatan rakyat. Namun kini indikator-indikator kesihatan telah tidak banyak berubah dan tidak menunjukkan peningkatan tahap kesihatan yang ketara berbanding negara-negara maju. Sistem kesihatan sekarang telahpun menunjukan gejala-gejala stress dan sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab, prihatin dan proaktif, kita tidak akan tunggu sehingga sistem kesihatan Negara sudah rosak, pecah, roboh baru hendak membaikinya. Kerajaan tidak pernah dan tidak akan mengabaikan keperluan dan kemahuan rakyat.

Justeru, Kementerian Kesihatan sedang berusaha merancang transformasi sistem kesihatan supaya dapat membangunkan sistem yang lebih saksama (atau dengan izin equitable), berkualiti tinggi dan mempunyai daya ketahanan jangkapanjang. Dengan objektif tersebut, Kementerian telahpun mengadakan pelbagai perbincangan dan mengambil input dan maklumbalas rakyat dan pihak-pihak yang terlibat selama ini. Usaha ini akan dipertingkatkan lagi kerana Kementerian Kesihatan telahpun merancang untuk mengadakan lebih banyak lagi dialog awam dan hari terbuka bersama rakyat untuk membincangkan isu-isu dan cabaran yang dihadapi sistem kesihatan mulai dari akhir bulan ini hingga ke akhir tahun. Kerajaan mengalu-alukan dan mahukan lebih banyak lagi ide dan saranan dari rakyat bagaimana kita boleh meningkat mutu sistem kesihatan Malaysia sejajar dengan keperluan masa depan dan usaha sepadu untuk mencapai status negara maju pada 2020.

Kebelakangan ini, ada sesi-sesi yang dijalankan oleh pihak pembangkang dan kumpulan-kumpulan tertentu yang bertujuan mengelirukan rakyat dengan menaburkan cerita dan fakta yang langsung tidak betul. Perbuatan tidak bertanggungjawab ini cuba menyusahkan rakyat dengan menyemaikan perasaan bimbang. Walhal, Kerajaan belum membuat sebarang keputusan, dan perbincangan mengenai Kajian Sistem Kesihatan Malaysia masih di peringkat awal. Adalah bohong belaka bila kumpulan tertentu mengatakan kononnya semua telahpun dimuktamadkan, akan dilancar satu sistem kesihatan baru dalam bulan Mac ini dan sebagainya.

Antara maklumat yang diputar belitkan atau kurang tepat adalah kenyataan semua orang mesti bayar, 10% dari pendapatan individu, untuk hanya berjumpa doktor 6 kali setahun, tanpa kebolehan memilih doktor dan bahawa badan yang menguruskan dana kesihatan akan diswastakan. Yang sebenarnya, Kerajaan telahpun berjanji bahawa dana kesihatan sekiranya ditubuhkan tidak akan diswastakan atau dikendalikan oleh pihak swasta. Ianya akan dikendalikan oleh badan bukan berasaskan keuntungan (dengan izin – not for profit organisation) di bawah pemantauan rapi Kementerian Kesihatan dan Kerajaan. Pengurusan sistem kesihatan negara mesti dibawah jagaan dan pemantauan kerajaan dan orangramai dijemput menyumbangkan cadangan dan syor bagaimana perkara ini boleh dijadikan lebih telus dan efisien dalam usaha Kajian Sistem Kesihatan Malaysia.

Dakwaan potongan gaji 10% dari pendapatan individu adalah sekali-kali tidak benar. Sebenarnya ia adalah anggaran perbelanjaan untuk rawatan kesihatan bagi seluruh isi rumah dalam setahun, dan bukan untuk individu. Anggaran ini dibuat berpandukan kajian-kajian terdahulu. Untuk maklum semua, pada masa ini pun, perbelanjaan kesihatan di Malaysia ditanggung oleh Kerajaan, syarikat dan juga individu. Lebih-lebih lagi bagi yang tidak mampu, mereka tidak perlu berbelanja apa-apa pun kerana semuanya dibiayai oleh Kerajaan.

Dalam perancangan apa-apa program atau aktiviti kesihatan Kerajaan, tidak pernah ada had atau batasan untuk bilangan rawatan, kecuali atas keperluan atau protokol perubatan. Menghadkan bilangan temujanji dengan doktor adalah tidak munasabah kerana kita semua faham bahawa ada pesakit yang memerlukan lebih rawatan dan ada yang memerlukan kurang. Sebenarnya, 6 temujanji itu adalah anggaran penggunaan klinik primer secara purata oleh rakyat Malaysia dalam setahun, berdasarkan kajian-kajian terdahulu. Ada yang guna lebih, ada kurang dan ada yang mungkin tidak pergi langsung kerana dirasakan tidak sakit.

Dalam perancangan sistem kesihatan yang lebih berkualiti, seseorang yang sihat pun masih patut melawat doktornya untuk saringan kesihatan, pemantauan tekanan darah, berat badan dan sebagainya supaya aktiviti promosi kesihatan dan pencegahan penyakit dapat dipertingkatkan lagi untuk 28 juta rakyat negara. Begitu juga pengesanan penyakit baru dapat dibuat dengan lebih awal lagi. Maka itulah sebabnya, Kementerian Kesihatan dan doktor-doktor serta pengamal perubatan yang bertanggungjawab menyokong bahawa semua rakyat patut berada di dalam sistem yang memastikan kecapaian kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti tanpa mengira umur, tahap kesihatan dan kemampuan. Maka tujuan dengan izin ‘no opting out’ adalah agar semua rakyat dilindungi di bawah sistem kesihatan yang saksama, berkesan dan berkualiti dan tidak bermakna semua akan perlu membayar kos rawatan. Bagi mereka yang tidak mampu, Kerajaan tetap akan membela dan menyumbang kepada perbelanjaan kesihatan mereka dalam apa-apa model penambahbaikan yang akhirnya dicadangkan.

Justeru, Kementerian Kesihatan akan mendedahkan salah maklumat yang telah diutarakan oleh pihak-pihak dengan berkepentingan sendiri dan bukannya untuk membela rakyat. Dengan harapan rakyat akan lebih memahami keadaan sistem kesihatan sekarang, Kementerian akan menerima lebih banyak lagi cadangan membangun dan syor-syor praktikal untuk diterapkan ke dalam Kajian Sistem Kesihatan Malaysia. Tanggungjawab membangunkan sistem kesihatan negara adalah tanggungjawab bersama dan Kerajaan mengalu-alukan maklumbalas rakyat. Oleh itu, dialog awam dan konsultansi dengan stakeholder akan diteruskan.

—————————————————————————————————————————

Puan Nurul Izzah binti Anwar [Lembah Pantai] minta Perdana Menteri menyatakan:

a) adakah kerajaan bersedia untuk menetapkan PETRONAS menyertai “Extractive Industries Transparency Initiative” dan jika tidak, apakah sebabnya

b) adakah cadangan untuk meminda Akta Pembangunan Petroleum 1974 untuk membolehkan PETRONAS membentangkan laporan terus ke parlimen

JAWAPAN

 

a)           Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Extractive Industries Transparency Initiative (EITI) telah diumumkan oleh mantan Perdana Menteri Britain Tony Blair di World Summit for Sustainable Development pada tahun 2002. Ianya antara lain bertujuan meningkatkan ketelusan dalam sektor extractive. Namun begitu, inisiatif ini bukanlah satu inisiatif yang penting memandangkan terdapat banyak inisiatif lain yang mempunyai tujuan yang sama. Sebagai contoh PETRONAS juga telah menjadi ahli kepada International Petroleum Industry Environmental Conservation Association (IPIECA). IPIECA terdiri daripada 32 syarikat antaranya termasuk BP, Shell, Exxon Mobil, ConocoPhillips, Chevron, Total, Statoil, Petrobras dan lain-lain.

PETRONAS adalah sebuah syarikat yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965. Sepertimana syarikat-syarikat lain, PETRONAS menyediakan laporan kewangan mengikut syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan kehendak peruntukan perakaunan yang diperakui serta diaudit oleh dua juruaudit bertauliah iaitu KPMG dan Ernst & Young.

PETRONAS turut menerbitkan Laporan Tahunan lengkap dengan laporan kewangan dan operasi setiap tahun. Laporan Tahunan ini turut dimuatkan dalam laman web PETRONAS dan boleh dimuat-turun oleh pihak-pihak yang berminat. Akaun PETRONAS juga diteliti oleh agensi-agensi penarafan (rating agencies) antarabangsa terkemuka seperti Standard & Poor dan Moody’s dan agensi-agensi ini telah memberikan penarafan yang sama atau lebih baik daripada syarikat-syarikat minyak dan gas terkemuka antarabangsa. Pada masa ini, Kerajaan tidak berhasrat untuk menetapkan PETRONAS menyertai EITI memandangkan penyertaan PETRONAS dalam IPIECA adalah memadai.

b)           Kerajaan juga tidak bercadang untuk meminda Akta Pembangunan Petroleum 1974 bagi membolehkan laporan PETRONAS dibentangkan terus ke Parlimen. Namun Kerajaan sentiasa berusaha menjelaskan pertanyaan-pertanyaan Ahli-Ahli Yang Berhormat berhubung kedudukan kewangan, aktiviti-aktiviti yang diceburi serta lain-lain isu berkaitan PETRONAS dalam Dewan yang mulia ini.

—————————————————————————————————————————

Puan Nurul Izzah Binti Anwar [ Lembah Pantai ] minta PERDANA MENTERI menyatakan adakah Majlis Fatwa Kebangsaan akan mengeluarkan Fatwa tentang amalan penipuan pelbagai bentuk dan cara dalam pilihan raya dan penganugerahan status kewarganegaraan kepada warga asing sebagai balasan sokongan kepada Kerajaan Pusat.

JAWAPAN:        (Y.B SENATOR MEJAR JENERAL DATO’ SERI JAMIL KHIR BIN HAJI BAHAROM (B), MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI )

Tuan Yang di-Pertua,

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia berpandangan tidak ada keperluan untuk berbincang dan memberikan fatwa berkaitan penipuan dalam pilihanraya.

Ini kerana, dalam Islam, hukum bagi sebarang bentuk penipuan adalah jelas iaitu tidak dibenarkan.

Suruhanjaya Pilihanraya juga telah mempunyai undang-undang dan peraturan yang boleh mengawal dan mengendalikan proses serta perjalanan pilihanraya di Negara ini agar berlangsung dengan telus dan adil.

Sekian, terima kasih.

—————————————————————————————————————————

NO. SOALAN     :        40    

Y.B PUAN NURUL IZZAH ANWAR minta MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI menyatakan adakah PROTON akan terus menikmati status nasional walaupun peratusan majoriti saham syarikat tersebut dijual kepada individu yang tiada kaitan dengan kerajaan.

 

Jawapan


Tuan Yang Di-Pertua,

Status Nasional yang dimiliki PROTON bukan hanya disebabkan oleh pemilikkan Kerajaan terhadapnya, tetapi lebih kepada sumbangan secara langsung dan tidak langsungnya kepada pembangunan ekonomi negara.

PROTON sebagai pengeluar kenderaan berstatus nasional selama ini bukan hanya memberi tumpuan kepada aktiviti pemasangan kenderaan, tetapi turut memfokuskan kepada aktiviti penyelidikan dan pembangunan produk, pembangunan pengeluar komponen dan alat ganti tempatan, pembangunan jaringan pengedaran dan servis serta berjaya mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Sebagai contoh, PROTON sejak penubuhannya telah berjaya mengeksport keluarannya ke kebanyakan negara di seluruh dunia. Walaupun menghadapi persaingan yang kompetitif daripada syarikat-syarikat yang lebih besar dan lebih lama di dalam industri automotif, PROTON di sepanjang tahun 2011 masih mampu mengeksport dan mengekalkan pasarannya ke 23 buah negara.

Oleh yang demikian, berdasarkan sumbangan yang signifikan ini, adalah penting untuk Kerajaan terus mengekalkan PROTON sebagai projek nasional supaya PROTON mampu untuk terus membantu meningkatkan daya saing industri automotif negara.

—————————————————————————————————————————-

Puan Nurul Izzah Binti Anwar [ Lembah Pantai ] minta PERDANA MENTERI menyatakan status pemberian konsesi lapangan minyak persisiran terkini (marginal oil fields). Nyatakan syarikat-syarikat yang telah mendapat konsesi tersebut dan keupayaan kewangan mereka.

 

JAWAPAN :

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, sejak Akta Pembangunan Petroleum (PDA) berkuat kuasa pada 1 Oktober 1974, pembangunan lapangan pesisir pantai di Malaysia hanya diberikan dalam bentuk “Production Sharing Contract (PSC)” serta “Risk Service Contract (RSC)” dan bukannya dalam bentuk “konsesi”.   PETRONAS tidak pernah menganugerahkan “konsesi” lapangan minyak persisiran kepada mana-mana pihak atau syarikat.

Baru-baru ini, PETRONAS telah melibatkan syarikat tempatan secara langsung dalam proses eksploitasi lapangan minyak dan gas negara yang bersaiz kecil (marginal fields), melalui RSC. Sebagai contoh syarikat tempatan yang terlibat ialah Kencana Petroleum Berhad, SapuraCrest Petroleum Berhad dan Dialog Group Bhd.  Kedudukan kewangan syarikat-syarikat ini boleh diakses di papan utama bursa saham Kuala Lumpur.

Berikut adalah jumlah milikan saham bagi kedua-dua RSC yang dilantik:

Balai Cluster RSC:

  • Roc Oil Malaysia (Holdings) Sdn  Bhd                    48%
  • Dialog D & P Sdn Bhd                                                 32%
  • PETRONAS Carigali Sdn Bhd                                   20%

Berantai RSC:

  • PETROFAC Energy Development Sdn Bhd            50%
  • Kencana Energy Sdn Bhd                                           25%
  • Sapura Energy Venture Bhd                                      25%

—————————————————————————————————————————-

Puan Nurul Izzah Binti Anwar [ Lembah Pantai ] minta PERDANA MENTERI menyatakan:-

(a)          adakah JPM akan menuntut FBC memulangkan kepada rakyat Malaysia 17 juta pound sterling yang dibayar kerana gagal di dalam memenuhi tugasan publisiti; dan

(b)          apakah penilaian pencapaian dan skop tugasan syarikat APCO Worldwide menepati terma-terma yang ditetapkan di dalam perjanjian yang dimeterai antara pegawai Perdana Menteri dan syarikat tersebut. Nyatakan sebab-sebab seandainya terma gagal dipenuhi dan adakah bayaran yang telah dibuat akan diminta untuk dikembalikan kepada Kerajaan.

 

JAWAPAN:       

Tuan Yang Di Pertua,

(a)     Kerajaan telah mendapatkan khidmat juru perunding FBC Media (UK) yang bertujuan menarik pelabur asing dan meningkatkan kedatangan pelancong bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.  FBC telah memenuhi tanggungjawab yang ditetapkan dalam kontrak dengan Kerajaan Malaysia.

(b)     Syarikat APCO Worldwide dilantik untuk melaksanakan perkhidmatan komunikasi yang bertujuan untuk meningkatkan lagi kapasiti Kerajaan dalam bidang ini agar pendekatan dan amalan kita adalah sama dengan amalan terbaik dunia.  APCO telah menjalankan tanggungjawab sebagaimana yang telah ditetapkan dalam perjanjian dengan Kerajaan.

Sekian, terima kasih.

—————————————————————————————————————————-

Puan Nurul Izzah Anwar [ Lembah Pantai ] minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah langkah-langkah untuk menubuhkan jawatankuasa tetap Parlimen yang memiliki fungsi pemantauan pembentukan dan pelaksanaan dasar-dasar di bawah kategori ekonomi dan kewangan, keselamatan dan pertahanan, pendidikan dan tenaga kerja, kesihatan dan khidmat masyarakat dan pembangunan bandar dan luar bandar.

JAWAPAN:


YB DATO’ SERI MOHAMED NAZRI AZIZ


Tuan Yang Di-Pertua,

Untuk makluman Yang berhormat, Kerajaan tidak menghalang penubuhan Jawatankuasa Pilihan di Dewan Rakyat. Penubuhan Jawatankuasa Pilihan membolehkan ahli-ahli Parlimen membahaskan sesuatu isu yang dibawa dengan terperinci. Keperluan untuk menubuhkannya adalah tertakluk kepada keperluan semasa.

Sekian, terima kasih.

 —————————————————————————————————————————-

JAWAPAN-JAWAPAN BAGI SOALAN BERTULIS

 —————————————————————————————————————————-

SOALAN            :

Puan Nurul Izzah binti Anwar [ Lembah Pantai ] minta MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN DAN KESEJAHTERAAN BANDAR menyatakan :-

a)           siapakah pemilik baru tapak Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields terdahulu di Jalan Tun Sambanthan memandangkan kenyataan Pengarah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan bahawa Kerajaan sudah tidak lagi memiliki tapak tersebut; dan

b)           bukankah pindah milik komersial ini bertentangan dengan dasar CF3 Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020.

JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat dari Lembah Pantai, Tanah yang dirujuk ini dikenali sebagai PT 20 (Lot 18) Seksyen 94A Bandar Kuala Lumpur (BKL) berpegang di bawah hakmilik No. HS(D) 118423 dimiliki oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan. Berdasarkan kepada semakan semasa (pada 2 Mac 2012) ke atas hakmilik tanah tersebut, tanah masih lagi milikan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan. Pemilik baru masih belum didaftarkan di dalam hakmilik tersebut.

Untuk maklumah Ahli Yang Berhormat juga, bakal pemilik baru tanah bekas tapak Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di Jalan Tun Sambathan adalah Syarikat Primamuda Holdings Sdn, Bhd. di mana tanah ini merupakan balasan (land swap) kepada pihak syarikat yang telah membangunkan Balai Polis Jalan Travers dan akan membangunkan Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields baru di Lot 55 (tapak Balai Polis Jalan Travers dan Balai Polis lama Jalan Travers sekarang). Keputusan ‘land swap’ ini telah diluluskan Jemaah Menteri pada 21 September 2005.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, pindahmilik ini adalah tidak bertentangan dengan Dasar CF3 Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020: “DBKL akan memastikan tanah Kerajaan digunakan bagi kegunaan Kerajaan atau kemudahan masyarakat” ; kerana ianya menggunakan kaedah penswastaan ‘land swap’ untuk pihak Kerajaan membina kemudahan masyarakat iaitu Balai Polis Jalan Travers dan Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di tapak yang lain.

 —————————————————————————————————————————-

 

SOALAN            :

 

Puan Nurul Izzah binti Anwar [ Lembah Pantai ] minta MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN DAN KESEJAHTERAAN BANDAR menyatakan kadar nilaian tanah semasa di Kampung Haji Abdullah Hukum sebelum perjanjian dimeterai di antara DBKL dan SP Setia Sdn. Bhd.

Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat dari Lembah Pantai, tanah Kg. Haji Abdullah Hukum asalnya adalah tanah Kerajaan dan telah diberimilikan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur pada 15 September 2009. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tidak pernah membuat penilaian ke atas tanah tersebut sebelum perjanjian dengan syarikat Eco City Sdn. Bhd. dibuat kerana tidak ada keperluan untuk berbuat demikian.