Skip to main content
Issues Affecting the RakyatPolitikUndang-Undangwomen

Kementerian Kewangan Perlu Bertanggungjawab Atas Kematian Pegawai PTD

By 3 June, 2010February 5th, 2021No Comments

Suara-Keadilan

Oleh Faizal Ezzany

KUALA LUMPUR 3 Jun – Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar kesal dengan tindakan Kementerian Kewangan yang tidak mahu bertanggungjawab atas kematian Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD), Nor Hashimah Wahid selepas menjalani kursus ala komando di Jugra Kuala Langat.

Beliau yang ditemui sewaktu melawat keluarga Nor Hashimah Selasa lalu di Keramat, menjelaskan arwah bekerja di bawah Kementerian Kewangan dan sepatut Menteri terbabit perlu memikul tanggungjawab atas insiden ini bukan hanya mendiamkan diri.

“Saya melihat perkara ini berlaku kerana tidak ada sikap tanggungjawab dari pihak yang mengendalikan latihan tersebut, memang kita akui setiap kursus atau latihan mesti timbul masalah tetapi yang penting pihak yang telah diberikan amanah untuk mengendalikan sesuatu latihan atau kursus perlu ada sikap bertanggungjawab.

“Bila sesuatu yang tidak diingini berlaku ke atas peserta latihan, pihak terbabit perlu memaklumkan kepada keluarga dan yang penting sekali tempat latihan tersebut mesti ada panel doktor yang boleh memberi rawatan awal kepada peserta sebelum dihantar ke hospital.

“Standard itulah yang diterima pakai oleh setiap prosedur latihan bila dianjurkan sesuatu latihan, kita bukannya menolak segala-galanya yang dilakukan oleh kerajaan tetapi dalam hal ini jelas wujud kepincangan yang tidak boleh dibiarkan lagi.

“Selain itu juga arwah bekerja di bawah Kementerian Kewangan, kenapa menteri terbabit tidak mengambil serius perkara yang berlaku ke atas kakitangannya. Sekarang kita lihat sikap diam diri dari kementerian terbabit seolah-olah cubaan untuk menutup kes, cubaan untuk meletakkan kesalahan ke atas arwah dan juga untuk tidak menyalahkan agensi mereka,” jelas Nurul Izzah.


Beliau juga memberitahu persoalan yang jelas timbul sekarang ini siapakan yang telah mengendalikan latihan tersebut jika pihak Tentera Udara DiRaja Malaysia menafikan latihan tersebut disediakan oleh mereka.

“Kita tahu kebanyakkan latihan yang dianjurkan oleh kerajaan akan dikendalikan oleh syarikat yang dilantik, persoalan yang perlu dijelaskan adakah syarikat terbabit mempunyai kelayakkan untuk mengendalikan latihan yang berkonsepkan ala komando itu.

“Siapa yang telah memberi kontrak, apakah kriteria pemilihan untuk syarikat mengadakan latihan, itu yang penting. Jangan hanya mementingkan kroni sehinggakan soal prosedur latihan diketepikan begitu saja.

“Pakatan Rakyat akan membincangkan perkara tersebut dan usul ini akan dibawa ke sidang parlimen yang akan datang bagi mendapat penjelasan dari pihak kerajaan terhadap kecuaian mereka. Kita mahu kerajaan bertanggungjawab bukannya lepas tangan begitu saja,” katanya lagi.

Kematian seorang pelatih Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD), Nor Hashimah Wahid, 30, ketika mengikuti kursus Diploma Pengurusan Awam (DPA) di Kem Latihan Jugra, Banting kelmarin merupakan pertama kali berlaku sejak kursus itu diwujudkan pada 1997.

Disebabkan kecuaian pihak terbabit untuk mengambil tindakan awal, Nor Hashimah telah meninggal dunia sewaktu berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dan meninggalkan seorang anak perempuan, Nurhylda Daenia berusia dua tahun.

Komen? Sila klik sini