Skip to main content
AntarabangsaParliamentPolitik

Kenyataan Kesatuan Antara Parlimen (IPU) berkenaan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan 11 Ahli Parlimen Pembangkang

By 28 October, 2015February 18th, 2020No Comments

Lapan tuntutan yang dikemukakan dalam keputusan yang diputuskan oleh Sidang Perhimpunan Majlis Kesatuan Antara Parlimen Kali ke-197 pada 21 Oktober 2015 di Geneva.

1- Ucapan tahniah dan terima kasih kepada pasukan pemerhati IPU serta pihak jawatankuasa parlimen yang mengemukakan kenyataan berkenaan keputusan penghakiman Datuk Seri Anwar Ibrahim.

2- Ucapan terima kasih kepada badan berkuasa di Malaysia terutamanya ahli jawatankuasa Parlimen yang membenarkan anggota IPU untuk bertemu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

3- Menyatakan Kebimbangan terhadap proses perjalanan siasatan dan pendakwaan yang dijalankan berhubung dengan kes.

4- Dikhuatiri bahawa pendakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakibatkan beliau tidak layak berkhidmat sebagai ahli parlimen.

5- Meletakkan harapan yang tinggi agar DSAi dapat diberikan peluang untuk semakan penghakiman atau memperoleh pengampunan Seri Paduka Baginda Yang Di=Pertuan Agong.

6- Dikhuatiri DSAI tidak mendapat akses rawatan yang sewajarnya.

Menyusul daripada misi lawatan anggota Majlis IPU ke Kuala Lumpur tahun ini, Majlis IPU yang bersidang di Geneva pada 21 Oktober 2015 telah bersepakat bahawa:

1. Parlimen Malaysia telah melengah-lengahkan usul dalam memansuhkan Akta Hasutan sungguhpun digesa oleh Perdana Menteri pada tahun 2012.

2. Peruntukan untuk Akta Hasutan yang diusulkan adalah lemah dan membenarkan akta tersebut disalahgunakan sehinggakan undang-undang itu membolehkan seseorang itu dipenjarakan mandatori tiga tahun.

3. Mahkamah Persekutuan gagal membuat keputusan mereka berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan sehinggakan merestui Akta Hasutan ini bersifat zalim dan juga tidak berlandaskan kepada piawai hak asasi antarabangsa.

4. Penukaran Peguam Negara dalam menangani kes berkaitan dengan Akta Hasutan gagal mengikut undang-undang jenayah piawai antarabangsa.

5. Kecewa apabila akta-akta zalim seperti Akta Hasutan, Kanun Jenayah dan Akta Perhimpunan Aman terus digunakan terhadap ahli-ahli parlimen yang bercanggah dengan hak kebebasan, berhimpun dan ekspressi . Mesyuarat juga khuatir bahawa pihak berkuasa akan menggunakan Seksyen 124B Kanun Jenayah bagi mengenakan hukuman yang lebih berat.

6. Mendesak Parlimen mengambil langkah serius dalam meratifikasikan Kovenan Antarabangsa Berkaitan dengan Hak Sivil Dan Politik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu khususnya berkaitan dengan kebebasan berhimpun secara aman dan berpersatuan, dan memastikan undang-undang yang sedia ada dipinda atau dimansuh berlandaskan kepada piawai antarabangsa hak asasi manusia.

Sebagai Ahli Parlimen, kami telah berkali-kali mengutarakan pemasalahan ini ke Dewan Rakyat tetapi diendahkan. Tindakan anggota Lembaga IPU dalam mengkritik urustadbir Parlimen Malaysia telah membawa kredibiliti Parlimen Malaysia ke satu langkah ke belakang.

Justeru, kami menggesa Parlimen Malaysia mengambil serius tentang usul yang dibangkitkan dalam Mesyuarat IPU yang baru lalu ini.

NURUL IZZAH ANWAR, AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
TIAN CHUA, AHLI PARLIMEN BATU
HEE LOY SIAN, AHLI PARLIMEN PJ SELATAN