Skip to main content

KENYATAAN MEDIA:

JENAYAH DADAH DI KALANGAN PELAJAR SEKOLAH SEMAKIN SERIUS: BILAKAH MENTERI DALAM NEGERI SEDIA BERTEMU KETUA PEMBANGKANG CARI PENYELESAIAN?

Lebih dua minggu telah berlalu sejak Ketua Pembangkang menjemput Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi duduk semeja bersama pimpinan KEADILAN, Pakatan Harapan beserta pihak berkepentingan lainnya dalam membincangkan kemelut ketagihan jenayah dadah dalam negeri yang juga menghantui pelajar.

Terkini, Timbalan Menteri Dalam Negeri sendiri mengesahkan kebimbangan yang telah kami suarakan selama ini iaitu seramai 1 475 pelajar pada tahun 2015 positif dadah.

Saya turut menyuarakan masalah dadah di sekolah, walau diperlekeh oleh Timbalan Menteri Pendidikan dalam jawapan usul kamar khas di parlimen, 25 Julai lepas.

Lebih parah, jawapan Timbalan Menteri Pendidikan bercanggah sama sekali dengan Timbalan Menteri Dalam Negeri apabila beliau menyatakan penglibatan pelajar ‘mencuba’ dadah masih rendah dengan seramai 1 345 pelajar hingga bulan Mei 2017. Beliau juga menafikan tiadanya data berkaitan penagihan dadah di kalangan pelajar sekolah. [Lampiran 1]

Kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan juga bercanggah dengan laporan AADK yang jelas menyatakan sebanyak 1,595 penagih dadah berusia antara 16 hingga 19 tahun pada 2016 – jumlah yang meningkat 16% berbanding 2015. Selain itu, penagih dadah berusia antara 13 hingga 15 tahun juga meningkat daripada 45 orang pada 2015 kepada 85 pada 2016.

Mengapa wujudnya kontradiksi antara dua kementerian utama dalam negara?

Jelasnya, fakta dan statistik yang dikeluarkan oleh pihak PDRM dan AADK secara langsung memperlihatkan dasar ‘sekolah bebas dadah 2012 beserta negara bebas dadah 2015’ gagal dicapai oleh kerajaan pemerintah Barisan Nasional.

Institusi pendidikan kini dalam bahaya apabila 420 buah sekolah disenarikan sebagai zon risiko kegiatan dadah.

Dalam menyelesaikan masalah ini, modul pendidikan pencegahan anti-dadah perlu diperhalusi semula. Hampir enam program pencegahan dadah dilaksanakan oleh kerajaan seperti PPDa, IMAN dan PINTAR, tetapi setiap kejayaan dalam program ini masih menjadi persoalan utama memandangkan kadar pelajar terlibat dengan jenayah dadah kian meningkat.

Peningkatan masa ke atas aktiviti sihat seperti sukan dan kokurikulum juga dapat membantu pelajar tidak terlibat dengan jenayah dadah. Mengambil ikitbar daripada dasar negara Iceland, penglibatan pelajar dalam sukan selepas sekolah membantu anak muda mencegah dadah.

Dasar ini melahirkan remaja Iceland yang paling tinggi mengamalkan gaya hidup sihat di Eropah. Kadar remaja mengambil kanabis menurun sebanyak 17 peratus pada tahun 1998 kepada tujuh peratus pada tahun 2016. Remaja berumur 15 dan 16 tahun yang merokok di Iceland juga berkurang daripada 23 peratus pada 1998 kepada tiga peratus pada tahun 2016.

Justeru, saya menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi mengumumkan tarikh untuk kita duduk berbincang secepat mungkin bagi menjawab semua persoalan dan melahirkan cadangan bernas dalam usaha menangani bahaya dadah yang mengancam anak-anak kita.

Nurul Izzah Anwar

Ahli Parlimen Lembah Pantai

Naib Presiden merangkap Pengarah Pilihan raya Bersama,

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)