Skip to main content

Pendedahan mengejut tentang keganasan ke atas golongan Rohingya di Myanmar mampu mengakibatkan ketidakstabilan serantau, di kala penderitaan mereka kurang diberi perhatian oleh jiran-jiran ASEAN dan komuniti antarabangsa.

Meskipun didesak berulang kali untuk menyelesaikan krisis berpanjangan ini, kerajaan Myanmar, di bawah pimpinan Canselor Negara dan penerima Anugerah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi, masih gagal menghentikan penindasan kejam dan pembunuhan beramai-ramai – sehingga memaksa golongan Rohingya untuk mendapatkan perlindungan di beberapa negara asing, termasuk Bangladesh dan Malaysia.

Menurut anggaran terkini yang dilaporkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kira-kira 420,000 orang Rohingya bertebaran di sekitar Asia Tenggara, dengan sejumlah 168,000 meninggalkan tempat tinggal mereka sejak tahun 2012. Sebahagian besar pelarian Rohingya diterima oleh Malaysia (150,000), manakala ada yang membawa diri ke Thailand (5,000) dan Indonesia (1,000).

Walaupun krisis yang berlaku ini jelas memuncak, Aung San Suu Kyi tetap mempertahankan rejim berkenaan, dan sering kali menafikan atau memandang remeh penindasan terhadap golongan Rohingya.

Seiring dengan penghapusan etnik yang berterusan, kemasukan pelarian secara besar-besaran ke negara-negara jiran di Asia Tenggara hanya akan memberi kesan negatif kepada hubungan serantau, dan ianya bukanlah solusi jangka panjang yang terbaik.

Memperlihatkan situasi terkini yang tidak berpenghujung, golongan Rohingya yang terselamat daripada pembunuhan beramai-ramai berkemungkinan tergugat dengan pengaruh fahaman radikal dan kegiatan ekstremis – yang mampu membahayakan keamanan dan kestabilan serantau.

Menurut laporan, Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA) adalah kumpulan yang paling dikenali pada masa ini, manakala beberapa kumpulan militan Rohingya pernah bergiat aktif sebelum ini (termasuk Rohingya Solidarity Organisation, Arakan Rohingya Islamic Front dan Rohingya Patriotic Front). Kewujudan gerakan sedemikian meningkatkan ancaman kegiatan berpaksikan keganasan, dan ada kemungkinan pengaruh Islamic State tersebar dalam kumpulan-kumpulan berkenaan apabila kesengsaraan dan kezaliman yang diperlakukan kepada keluarga serta kenalan Rohingya mereka berlarutan tanpa pengadilan. Ancaman keganasan yang meningkat semakin mendebarkan disebabkan kezaliman berpanjangan tanpa kesudahan – ternyata menjadi api ekstremisme yang mampu menggugat kestabilan serantau.

Saya telah membawa isu ini kepada Timbalan Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, untuk memacu ASEAN agar lebih proaktif dan mempamerkan kebajikan berteraskan kemanusiaan dengan mengadakan sesi kecemasan demi membincangkan tindakan tidak berperikemanusiaan yang sedang berlaku di Myanmar.

Kini, segalanya berada dalam tangan Perdana Menteri Najib Razak, tatkala beliau sibuk mempersiapkan diri bertemu Presiden Amerika Syarikat. Berdasarkan isu-isu memuncak di Malaysia, beliau perlu bertindak dengan menggesa atau mengadakan pertemuan kecemasan peringkat ASEAN untuk menyelesaikan tragedi pembunuhan yang terus berlangsung.

Prinsip ‘tidak campur tangan’ dalam kalangan urusan negara-negara ASEAN tidak sepatutnya memperjudikan isu-isu pencabulan hak asasi manusia dan jenayah kemanusiaan, yang dilihat mampu menggugat kestabilan serantau sekiranya kita gagal untuk memimpin berpandukan prinsip keadilan menerusi kaedah diplomatik atau inisiatif manusiawi.

Kerajaan Malaysia, sebagai salah sebuah negara ASEAN yang paling berkuasa dan pejuang utama hak golongan Rohingya, perlu mendesak kerajaan Myanmar dan tenteranya untuk menerangkan punca penindasan yang berlaku, lalu menghentikan layanan aparteid terhadap golongan Rohingya. Segala bentuk kecaman dan kerisauan yang diluahkan ke atas penindasan terhadap golongan Rohingya juga harus disertai mekanisme yang jelas, nyata dan konkrit, selain daripada penerimaan pelarian yang berterusan.

Pembuangan golongan Rohingya secara keseluruhan daripada tanah air mereka telah bercambah ke isu keselamatan secara besar-besaran – dengan beribu-ribu pelarian cuba sedaya upaya untuk melepasi sempadan negara, atau berisiko dihapuskan oleh junta yang sedang mengganas.

Sekiranya kerajaan Myanmar sememangnya bersalah atas pertuduhan pembunuhan beramai-ramai (‘genocide’), tidak perlu ada sebarang keraguan dalam mengumpulkan pengaruh di peringkat serantau dan antarabangsa demi menegakkan keadilan di rantau ini. Isu Rohingya melangkaui batas bangsa dan agama, di kala aspek kemanusiaan diutamakan. Penyelesaian masalah ini memerlukan kerjasama utuh dan campur tangan komuniti antarabangsa, dengan menjelaskan kesengsaraan golongan Rohingya yang tertindas serta mengambil tindakan yang tegas ke atas pelakunya.

Sebagai pendokong keamanan, Malaysia perlu mengekalkan persekitaran yang harmoni di kawasan sempadannya, di samping memainkan peranan sebagai pemimpin yang aktif untuk memastikan kestabilan dan kebajikan serantau berada pada tahap yang tertinggi. Gesalah ASEAN sekarang, dengan kerjasama utuh bersama Indonesia.

NURUL IZZAH ANWAR
NAIB PRESIDEN, PARTI KEADILAN RAKYAT
AHLI PARLIMEN, LEMBAH PANTAI