Skip to main content
Human RightsIssues Affecting the RakyatMediaPolitikPress ReleaseStatementsUndang-Undangwomen

Kenyataan Media: Kematian Norhashimah Timbulkan Banyak Persoalan

By 4 June, 2010February 5th, 2021No Comments

03 Jun 2010 |

Kematian Allahyarham Norhashimah Wahid, Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) di Kementerian Kewangan berikutan menjalani latihan ala-komando Isnin lepas jelas merupakan satu insiden yang begitu mendukacitakan.

Tiap doa, ingatan dan setulus takziah kami senantiasa bersama-sama keluarga Allahyarham yang kini berada dalam keadaan yang sukar, khususnya suami Allahyarham, Ahmad Zuhairi Zainal Abidin dan anak mereka, Nor Hylda Dania.

Kami berkesempatan meziarahi keluarga Allahyarham bersama-sama YB Azmin Ali pada 1 Jun lepas.

Dalam masa yang sama, kami menggesa Kerajaan Persekutuan khususnya Jabatan Perkhidmatan Awam untk menjalankan siasatan yang terbuka dan telus ke atas isu ini, apakah berlaku kecuaian di kalangan pelatih.

Tidak boleh tidak, persoalan akan terus timbul mengenai keperluan wujudnya latihan ketenteraan yang mencabar fizikal bagi para penjawat awam negara.

Umum bersetuju bahawa wujud keperluan penjawat awam khususnya pegawai PTD untuk cergas mental dan fizikal, tetapi dalam masa yang sama masih banyak saluran yang boleh dibentuk yang lebih rasional untuk membentuk semangat kekitaan di kalangan mereka.

Insiden ini, seperti mana insiden-insiden malang yang berlaku di dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) menimbulkan beberapa persoalan serius ke atas komitmen Kerajaan ke atas kebajikan peserta di bawah seliaan mereka.

Kami ingin membangkitkan beberapa persoalan :

a) Siapakah yang mengendalikan Modul Bina Semangat berkenaan? Kami dimaklumkan bahawa modul terdahulu dikendalikan oleh Outward Bound School (OBS) tetapi dikendalikan oleh konsultan di tapak PULAPES. Sekiranya benar ia dikendalikan konsultan, apakah konsultan ini mempunyai latar belakang kejurulatihan profesional?

b) Apakah modul ini memenuhi mana-mana piawaian keselamatan dan mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang jelas berhubung keselamatan peserta?

c) Mengapakah Allahyarham dipaksa meneruskan latihan fizikal tersebut sedangkan beliau sudahpun menunjukkan tanda-tanda sakit?

d) Apakah benar peserta terpaksa menggagahkan diri untuk meneruskan latihan tersebut kerana menerima ugutan bahawa mereka akan terpaksa mengulang semula keseluruhan latihan selama tujuh (7) bulan sekiranya mereka gagal menghabiskan latihan tersebut?

e) Mengapakah doktor yang merawat Allahyarham menyatakan bahawa Allahyarham lewat dihantar ke hospital untuk menerima rawatan?

f) Mengapakah suami Allahyarham hanya dimaklumkan oleh pihak hospital, bukan daripada pegawai yang menyelaras latihan berkenaan dan juga pegawai yang bertanggungjawab menghantar Allahyarham ke hospital?

Keluarga Allahyarham telah menafikan dakwaan oleh sesetengah pihak bahawa Allahyarham tidak sihat dan cergas. Beliau merupakan seorang penyelam bertauliah dan sangat menyukai aktiviti lasak. Sebarang keadaan yang mencurigakan dapat dikesan di dalam pemeriksaan kesihatan, dan dalam situasi ini,apakah peserta perlu melalui sebarang bentuk pemeriksaan kesihatan sebelum setiap modul dijalani sepenuhnya?

Hatta satu kehilangan nyawa seperti ini jelas merupakan satu kehilangan besar, dan sebarang kecuaian harus didedah dan dihukum.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh JPA pada 1 Jun 2010 hanya menjelaskan pengisian kursus Diploma Pengurusan Awam secara umum tanpa mengulas secara spesifik apa yang dilalui oleh Allahyarham Norhashimah dan rakan-rakannya di dalam latihan ala-komando tersebut.

Malah kenyataan tersebut gagal menjawab penafian Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengenai penglibatan mana-mana pegawai TUDM di dalam latihan tersebut.

Pihak berwajib tidak mempunyai pilihan melainkan mendasari isu ini dengan teliti dan memberi jaminan bahawa tidak ada mana-mana keluarga di Malaysia ini harus melalui pengalaman ngeri seumpama ini. Pihak berkenaan juga harus membekukan sebarang penglibatan peserta di dalam latihan seumpamanya sehinggalah tragedi ini disiasat sepenuhnya dengan telus dan terbuka.

Kami menerima banyak aduan dari PTD-PTD yang melalui modul yang sama. Sudah semestinya warganegara yang memilih untuk berkhidmat untuk negara berhak layanan yang lebih baik.

Sekali lagi, kami merakamkan rasa simpati dan sedih kami ke atas keluarga Allahyarham.

Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Lembah Pantai
Amiruddin Shari, Ahli Dewan Negeri Selangor Batu Caves
Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Dewan Negeri Selangor Seri Setia
Sim Tze Tzin, Ahli Dewan Negeri Pulau Pinang Pantai Jerejak