Skip to main content
EducationIssues Affecting the Rakyat

Mangsa Utama Penstrukturan Belanjawan Perdana Menteri Malaysia

By 24 February, 2016February 5th, 2021No Comments

Ketika negara hampir terperosok ke era zaman kegelapan ekonomi negara, langkah pertama yang diambil oleh kerajaan adalah dengan memotong peruntukan ke sekolah-sekolah dan universiti awam. Seolah-olah Malaysia tidak pernah belajar daripada sejarah Zaman Kegelapan yang menunjukkan simptomnya apabila peluang pekerjaan semakin sempit dan sekolah-sekolah terpaksa ditutup.[1]

Menurut laporan Majlis Profesor Negara (MPN), seramai 156 profesor berstatus kontrak di universiti awam tidak dilanjutkan  [2] Prof Datuk Dr Raduan Che Rose, Ketua Pengawai Eksekutif MPN berkata sumbangan profesor kontrak sewajarnya dihargai dan profesor sepatutnya diletakkan bawah satu suruhanjaya iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan Tinggi, bukannya skim Suruhanjaya Perkhidmatan Awam seperti sistem yang sedia ada.

Ini bukanlah isu pertama yang dirujuk kepada saya, bahkan saya menerima aduan daripada guru-guru di kawasan Lembah Pantai memaklumkan penangguhan kenaikan gred yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah tidak berasas memandangkan guru-guru wajar diberi pengiktirafan atas perkhidmatan cemerlang mereka. [3]

Saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kerajaan yang meletakkan sektor pendidikan di barisan pertama sebagai mangsa penstrukturan semula belanjawan 2016. Datuk Seri Idris Jusoh selaku Menteri Pengajian Tinggi dan Datuk Seri Mahadzir Khalid selaku Menteri Pendidikan harus mengeluarkan kenyataan bagi membela nasib pensyarah dan guru yang terkesan dengan pemotongan bajet ini.

Ahli-Ahli dewan rakyat dari barisan pembangkang telah berjuang habis-habisan dalam memastikan belanjawan 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri tahun lalu tidak diluluskan kerana kami mengambil kira faktor pemotongan belanjawan universiti awam sebanyak RM 1.4 Billion berbanding belanjawan tahun 2015.

Saya menggesa agar Datuk Seri Idris Jusoh mengotakan janji-janji beliau agar memastikan pemotongan bajet tidak memberi kesan kepada KPT. Tidak hanya merujuk kepada Pejabat Menteri Pengajian Tinggi, tetapi turut mengambil kira kesan terbanyak kepada Mahasiswa dan pensyarah.

Gendang reformasi pendidikan telah pun dipalu berkali-kali. Namun demikian, tanpa kemahuan jalinan kerjasama antara semua pihak dalam menjayakan proses reformasi pendidikan  ini, kita akan terdekat di era pembobrokan sistem sedia ada yang dilakukan oleh kerajaan.

Malaysia mempunyai 2,254 profesor dan seramai 1,867 orang berkhidmat di universiti awam. Tempoh perkhidmatan dan sumbangan akademik mereka tidak wajar diletakkan di paras yang sama dengan penjawat awam yang lain. Seharusnya wujud jabatan khas dalam mengelola sistem ini dan memastikan profesor mempunyai platform khas dalam memberi sumbang saran kepada sektor pengajian tinggi Malaysia.

Kerajaan wajar tampil dengan solusi kolektif dan mewujudkan panel khusus dalam mengkaji keberkesanan Penstrukturan semula belanjawan yang diumumkan dan kesan kepada sektor pendidikan negara. Jangan sampai rumah gelap tak mampu lunaskan bil, di tambah pula dengan usaha – usaha mematikan lilin yang menyala.

NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN DAN PENGARAH PILIHANRAYA KEADILAN

[1] http://study.com/academy/lesson/the-dark-ages-definition-history-timeline.html

[2] http://m.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/tiada-bajet-putrajaya-tamatkan-kontrak-156-profesor#sthash.SVwX3n4J.dpuf

[3] http://www.moe.gov.my/my/pemberitahuan

[4]http://article.wn.com/view/2015/10/24/Pengurangan