Skip to main content
Issues Affecting the RakyatParliamentPilihanrayaPolitik

Pengerusi SPR baru punyai masa 3 bulan buktikan SPR bebas dan adil

By 21 January, 2016February 5th, 2021No Comments

Selaku Pengarah Pilihanraya KEADILAN saya ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah yang telah dilantik menggantikan Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya.

Pengerusi SPR terbaru punyai peluang untuk membuktikan SPR bebas dan adil. Dengan prasangka yang baik rakyat mungkin akan menerima bahawa 16 bulan sebagai timbalan tidak dapat mampu digunapakai sepenuhnya untuk melunaskan kredibiliti SPR; pun begitu harap saya Datuk Seri Mohd Hashim terus menebus peluang kedua selaku pengerusi SPR yang baru.

Saya ingin mengingatkan kepada Datuk Seri Mohd Hashim akan lebih 250 ribu rakyat yang turun ke jalanan melahirkan kekecewaan terhadap SPR yang dilihat menggunapakai kuasa yang ada sekadar untuk mengekalkan kuasa sebuah barisan politik semata-mata. Rakyat gagal melihat bahawa SPR bebas dan adil.

Dalam kes dakwat kekal, Hakim Mahkamah Rayuan Prasad Abraham dalam penghakiman beliau berkata adalah menjadi tugas utama Suruhanjaya Pilihan Raya untuk menjalankan tugas mereka menurut Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Dalam kes tersebut adalah jelas SPR tidak menjalankan tugas mereka dengan adil, berikutan tindakan-tindakan yang tidak bertanggungjawab oleh Pengerusi SPR yang bakal bersara tidak lama lagi.

Justeru saya mencabar Datuk Seri Mohd Hashim untuk membuat perubahan dalam kadar segera di bawah tiga bulan:-

1. Pelunasan segera Reformasi sistem pilihanraya dalam melahirkan sebuah piliharaya yang benar-benar bersih dan adil. Pada tahun 2012, sebuah laporan oleh Jawatankuasa terpilih Parlimen bagi Reformasi Pilihan raya telah dikeluarkan. Antara lain, laporan itu menuntut agar; SPR perlu berusaha untuk mendaftarkan pengundi secara otomatik apabila mencapai umur 21 tahun, kempen pilihan raya umum yang lebih panjang, dan akses media yang adil bagi kesemua parti politik yang bertanding.

2. Proses persempadanan semula negeri Sarawak yang bermula pada 5 Januari 2015 merupakan proses penambahan kerusi pertama di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang dilaksana tanpa penambahan kerusi Parlimen perlu disemak segera. Mahkamah Tinggi Sarawak juga mendapati bahawa SPR gagal untuk melakukan tugas mereka dengan sempurna dalam kes persempadanan semula, walaupun keputusan tersebut berjaya dirayu oleh SPR dalam Mahkamah Rayuan.

3. Pengerusi SPR yang baru juga perlu segera menyiasat Perdana Menteri di bawah Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 yang telah dilaporkan berbelanja di dalam pilihanraya melebihi had yang ditetapkan di bawah Seksyen 19, Akta Kesalahan Piliharanraya 1954, yang menghadkan perbelanjaan pilihanraya kepada hanya RM200,000 dan RM100,000 setiap calon Parlimen dan Dewan Undangan Negeri masing-masing.

Peluang ini datang hanya sekali. Mahukah Datuk Seri Hashim mahu diingati sebagai Pengerusi SPR yang hanya meneruskan legasi Pak Turut Parti pemerintah, ataupun seorang yang benar-benar menjalankan tugas seperti yang ditegaskan di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia?

NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN DAN PENGARAH PILIHANRAYA KEADILAN