Skip to main content

nurul-azizah

2016-07-28 11-19-11_Page1_Image12nd page

Salam teman-teman,

Dilampirkan Surat dihantar ke DBKL berserta 990 petisyen tandatangan pembantah kenaikan Caj Parking.

Rujukan Anda :
Rujukan Kami : P121LP/16/07/042 (06)
Tarikh : 28 Julai 2016

Yang Berbahagia Datuk Seri Hj. Mhd. Amin Nordin bin Abd. Aziz
Datuk Bandar Kuala Lumpur
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
Tingkat 1, Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut
50350 Kuala Lumpur

YBhg Datuk Seri,

BANTAHAN SUSULAN PASCA PERTEMUAN DENGAN AHLI-AHLI PARLIMEN BERKENAAN ISU CAJ PARKING DI KAWASAN TIADA CAPAIAN PERKHIDMATAN AWAM

Dengan segala hormatnya merujuk perkara di atas. Saya bersama sokongan daripada rakyat di parlimen Lembah Pantai membantah kenaikan harga parking yang dikuatkuasa pada 18 Julai 2016 dan menyifatkan ia satu keputusan yang agak terburu-buru.

2. Namun bila diteliti dasar ini, yang kononnya berniat mengurangkan jumlah kereta yang masuk ke KL yang dipandu seorang penumpang, saya terpanggil untuk bertanya sama ada sistem pengangkutan awam sedia ada — dari bas, tren komuter, termasuk jaringan LRT/monorel — bersedia menanggung peningkatan jumlah penumpang sehingga hampir sejuta orang sehari.

3. Mengikut laporan SPAD, sehingga Disember 2015, terdapat 11 pengendali bas di Lembah Klang yang mengendalikan 1,500 bas dan mengangkut sekitar 600,000 penumpang sehari. Manakala Prasarana pula berkata, termasuk jaringan LRT Kelana Jaya terbaharu, perkhidmatan LRT dan monorel mengangkut hampir 900,000 orang penumpang setiap hari dengan menggunakan hampir 80 tren.

4. Adakah Datuk Bandar boleh memberi penjelasan bagaimana dasar terbaharu beliau ini akan mampu ditanggung prasarana pengangkutan awam sedia ada.

5. Salah satu kawasan di parlimen Lembah Pantai iaitu Bangsar terkesan dan tersenarai dalam kawasan CBD yang dikenakan kenaikan harga parkir. Rakyat Bangsar menzahirkan rasa kecewa dan membantah kenaikan harga parkir yang dikuatkuasakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Menteri Wilayah Persekutuan.

6. Pengguna kenderaan juga mengeluh dengan mesin pembayaran parking yang tidak ditambah baik oleh DBKL. Mesin pembayaran masih menggunakan duit syiling untuk mendapat tiket parking. Pengguna terpaksa mencari dan menyediakan duit syiling untuk membayar parking dan perkara ini mengambil masa yang lama untuk pengguna menukar wang kertas kepada syiling dengan jumlah yang agak besar. Walaupun perkara ini dilihat kecil, namun impaknya dirasai oleh pengguna.

7. Petisyen bantahan kenaikan harga dan sistem parkir baru telah dilancarkan oleh penduduk Bangsar bagi menunjukkan ketegasan mereka dalam isu ini. Segala tandatangan mereka yang menyokong petisyen ini disertakan di bahagian lampiran surat ini (Lampiran 1).

8. Saya mendesak agar pihak Ybhg Datuk Bandar dan Kementerian Wilayah Persekutuan menghentikan pelaksanaan kenaikan caj parkir di Kuala Lumpur serta-merta, terutamanya di kawasan Bangsar, seperti yang telah dilakukan oleh Menteri Wilayah Persekutuan dengan menurunkan kadar parkir di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) pada 20 Julai 2016. Segala pertimbangan pihak Ybhg Datuk Bandar dalam menurunkan harga parkir di Bangsar dan Kuala Lumpur secara amnya saya dahului dengan ucapan terima kasih.

Sekian, Terima Kasih.

Yang Berkhidmat
Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai