Skip to main content
MediaParliamentPress ReleaseStatements

Persoalan Kecacatan Sistem Radar & Pemberian Tender Terus Bernilai RM280 Juta

By 14 June, 2012February 18th, 2020No Comments

KENYATAAN MEDIA 14 JUN 2012

Kementerian Pengangkutan dalam jawapan Parlimen kepada soalan saya semalam telah menyatakan bahawa sistem kawalan udara yang menggunakan Human Machine Interface (HMI) “berada di tahap yang baik” dan “memenuhi piawai dan amalan International Civil Aviation Organization (ICAO) dan berjalan dengan lancar”.

Malangnya, jawapan pendek ini langsung tidak menjawab persoalan-persoalan yang ditimbulkan dalam sidang media di hadapan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) di Subang pada 8 Jun 2012 yang lalu:

1)   Seperti yang saya telah maklumkan dalam sidang media Jumaat lalu, kontrak untuk perbaiki sistem kawalan udara ini telah diberi kepada syarikat SELEX Sistemi Integrati dan Advanced Air Traffic Systems (M) Sdn Bhd secara “tender rundingan tertutup. Apakah alasan pihak Kementerian Pengangkutan serta DCA yang membolehkan sistem yang cukup mustahak ini diberikan sebegini, dan adakah menjadi norma bagi sesuatu projek dianugerahkan kepada keluarga Menteri?

2)    Surat bertarikh 4 Januari 2012 dari sebelas orang termasuk timbalan-timbalan pengarah pengawal trafik udara di Pusat Kawalan Trafik Udara Nasional (NATCC) yang telah menyuarakan rasa kecewa mereka terhadap ketiadaan maklum balas dari pihak berkuasa tentang kecacatan-kecacatan dan kekurangan-kekurangan dalam sistem yang diperguna. Sudahkah surat ini dijawab DCA?

3)     Apakah langkah-langkah yang telah diambil pihak DCA untuk perbaiki masalah-masalah kecacatan sistem seperti yang telah kami dedahkan dalam dokumen berjudul “Certificate of Practical Completion’ dengan no kontrak: DCA/TAD/R/10/2009BP ? Jika langkah-langkah telah diambil, saya gesa samada pihak DCA ataupun syarikat terbabit untuk menunjukkan surat yang membuktikan langkah-langkah tersebut telah diambil dan benar-benar mengatasi masalah-masalah yang dialami.

4)    Sekiranya kecacatan-kecacatan dan kekurangan-kekurangan ini telah diperbaiki, bilakah pihak DCA akan mengadakan audit International Civil Aviation Organization untuk membuktikan keberkesanan sistem tersebut?

Nurul Izzah Anwar

Ahli Parlimen Lembah Pantai, merangkap

Naib Presiden KEADILAN