Skip to main content

KENYATAAN MEDIA
RAKYAT KUALA LUMPUR BERHAK TAHU – ISU PENJUALAN TANAH DBKL

Saya gesa Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mohd Amin Nordin Abdul Aziz agar serta-merta menarik balik kenyataan beliau, yang mengaitkan respon berkait penerimaan laporan penuh daripada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dengan isu penjualan tanah di bawah kendalian DBKL. (lampiran 1)

Beliau juga perlu tampil dengan jawapan berkait isu penjualan tanah DBKL dengan telus dan terbuka, yang didakwa beberapa ahli Parlimen sebagai tidak mengikut prosedur teliti dan dijalankan tanpa melalui proses tender terbuka. Ingin saya tekankan bahawa dakwaan ini turut disokong hasil dapatan Laporan Ketua Audit Negara 2016, melalui proses audit bagi program Kementerian Wilayah Persekutuan. (Lampiran 2)

Saya memandang serius kenyataan Datuk Bandar berkenaan isu program Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) di kawasan Parlimen Lembah Pantai seperti kenyataan media awal.(lampiran 3) Tiada langsung butiran lengkap berkaitan proses penjualan tanah di Kuala Lumpur dikongsikan secara teliti.

Sebaliknya, saya ingin mempersoalkan kenyataan Tan Sri Mohd Amin tentang dakwaan 45 bidang tanah yang dijual tanpa melalui proses tender terbuka. Saya yakin bahawa respon beliau melambangkan kemungkinan wujudnya ketirisan dalam urus tadbir DBKL, di samping adanya proses penjualan tanah dan pemilihan pemaju yang tidak mengikut prosedur menyeluruh (termasuk bagi projek RUMAWIP).

Sebagai seorang Datuk Bandar lantikan, beliau sepatutnya mengupayakan sistem jawapan yang lebih baik kepada ahli parlimen yang dipilih oleh rakyat. Menyorok di sebalik jawapan surat menteri adalah satu kepelikan moral yang tidak wajar wujud dalam pengurusan antara Datuk Bandar dan Menteri Wilayah.

Saya menggesa Menteri Wilayah Persekutuan dan Dato Bandar mengambil iktibar daripada cadangan yang dikemukakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2016 tentang kaedah penjualan tanah yang berkualiti dan efisien. Pendekatan ‘kerap berdalih’, dengan mengemukakan pelbagai alasan perlu dihapuskan demi memastikan bandaraya Kuala Lumpur terus subur.

Prinsip saya selari dengan cadangan Laporan Ketua Audit Negara 2016, agar mengguna pakai sebuah garis panduan dan prosedur yang komprehensif – merangkumi pemilihan pemaju, proses bidaan, permohonan dan pengurusan data.

Sesungguhnya rakyat berhak tahu tentang kebenaran di sebalik segala urusan negara, termasuk butiran berkaitan penjualan tanah di kota Kuala Lumpur. Usah kerajaan bicara isu revolusi digital mahupun akses kepada maklumat, jika informasi yang benar tidak sampai ke tangan rakyat.

Ada baiknya kita mencontohi tindakan kerajaan India, yang telah mewartakan ‘Right to Information Act 2005’ untuk memandu penyampaian maklumat yang tepat dan telus kepada rakyat.

Dengan ini, saya mendesak Menteri Wilayah Persekutuan dan Dato Bandar untuk menerbitkan segala apa yang dicanang tentang penjualan tanah dalam bentuk hitam putih, bagi kemudahan semua. Semoga rakyat memperoleh faedah daripada pendedahan tersebut, demi kesejahteraan jangka panjang bandaraya Kuala Lumpur.

*Capaian lampiran-lampiran:

  1. Aktiviti Kementerian Jabatan Badan Berkanun Persekutuan
  2. ISU LAPORAN AUDIT BUKTI WUJUD KEPINCANGAN DALAM PROJEK RUMAWIP
  3. Laporan Projek RUMAWIP
  4. surat maklumbalas RUMAWIP

NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN DAN PENGARAH PILIHAN RAYA BERSAMA, PARTI KEADILAN RAKYAT