Skip to main content
ParliamentSoalan Parlimen

Soalan & Jawapan YB Nurul Izzah-MP Lembah Pantai Penggal Ke-4 Mesyuarat Ke-3

By 5 October, 2011February 18th, 2020No Comments


NO. SOALAN : 43

 

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT

 

PERTANYAAN          :           LISAN

DARIPADA                :           PUAN NURUL IZZAH BINTI ANWAR

                                                       [ LEMBAH PANTAI ]

TARIKH                     :           3 OKTOBER 2011 (ISNIN)

SOALAN                    :

 

Puan Nurul Izzah Binti Anwar [ Lembah Pantai ] minta PERDANA MENTERI menyatakan milik siapa pesawat Airbus A319-IIX yang digunakan semasa percutian YAB. Perdana Menteri di Perth, Australia serta kekerapan penggunaan pesawat dan kos terbabit.

JAWAPAN :               (DATO’ SERI MOHAMED NAZRI BIN ABDUL AZIZ)

 

Tuan Yang Di-Pertua,

            Mulai 3 Ogos 2007, Kerajaan telah menyewa sebuah Pesawat Airbus A319 daripada Syarikat Penerbangan Malaysia Berhad (PMB) untuk kegunaan VVIP Kerajaan meliputi Seri Paduka Baginda yang di-Pertuan Agong, YAB Perdana Menteri dan YAB Timbalan Perdana Menteri.

            Bagi tempoh Januari sehingga Ogos 2011 kekerapan penggunaan pesawat adalah meliputi 155 sektor di dalam dan luar negara dengan kos penggunaan berjumlah RM9,158,430.45 yang meliputi kos bahan api pesawat, parking & handling charges, sajian dan logistic krew pesawat.

Sekian, terima kasih.

——————————————————————————————————————————

 

NO. SOALAN : 28

 

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT

 

PERTANYAAN          :        LISAN

DARIPADA                :          PUAN NURUL IZZAH BINTI ANWAR

                                                       [ LEMBAH PANTAI ]

TARIKH                     :           5 OKTOBER 2011

SOALAN                    :

 

Puan Nurul Izzah Binti Anwar [ Lembah Pantai ] minta PERDANA MENTERI menyatakan :

(a) rasional pemberian 50 biasiswa elit Jabatan Perkhidmatan Awam kepada mahasiswa-mahasiswa yang sedang melanjutkan pengajian di university-universiti terkemuka dunia; dan

(b) adakah pemberian 50 biasiswa ini mendiskriminasi pelajar-pelajar lepasan SPM yang tidak berkemampuan walaupun mempunyai keputusan cemerlang.

JAWAPAN :

 

Tuan Yang Di-Pertua,

(a) Program penajaan ke university bertaraf Ivy League dan terkemuka di luar negara adalah merupakan program sedia ada di bawah tajaan JPA semenjak tahun 2008. Sebanyak 50 penajaan setahun disediakan kepada pelajar yang telah menerima tawaran tanpa syarat (unconditional offer) daripada pihak universiti bagi mengikuti pengajian peringkat Ijazah Pertama di universiti bertaraf Ivy League dan setara di luar negara serta kepada pelajar yang sedang mengikuti pengajian tahun dua dan ke atas di sana. Rasional pemberian biasiswa ini adalah bagi menyokong perancangan program di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) iaitu mengenal pasti pelajar terbaik Malaysia yang sedang belajar di university terbaik luar negara dan menyediakan biasiswa bagi membiayai yuran pengajian di tahun akhir dengan syarat mereka kembali ke tanah air.

(b) Pemberian biasiswa ini tidak mendiskriminasi mana-mana pihak termasuk pelajar-pelajar lepasa SPM yang tidak berkemampuan walaupun mempunyai keputusan yang cemerlang. Ini kerana, Kerajaan turut menyediakan program penajaan lain yang berprestij dan kompetitif bagi pelajar-pelajar ini mengikuti pengajian ke luar negara menerusi Program Ijazah Luar Negara (PILN) dan dalam negara di bawah Program Ijazah Dalam Negara (PIDN) termasuk ke Universiti Penyelidikan (Research Universities) dan beberapa IPTS yang diperakukan.

Dasar penajaan sedia ada Kerajaan tidak meminggirkan nasib pelajar-pelajar cemerlang daripada golongan kurang berkemampuan. Penerima biasiswa JPA adalah meliputi pelajar-pelajar cemerlang daripada keluarga yang berpendapatan sederhana dan rendah dari kawasan Bandar dan luar Bandar yang memenuhi syarat kelayakan minimum berdasarkan empat kategori seperti berikut:

(i)         Kategori 1 – Biasiswa berasakan kecemerlangan pelajar, sebanyak 20% daripada jumlah biasiswa yang disediakan. Untuk kategori ini, pemilihan adalah berdasarkan kecemerlangan akademik (85%), kokurikulum (10%) dan temu duga (5%). Latar belakang dan kedudukan sosioekonomi calon tidak diambil kira.

(ii)        Kategori 2 – Biasiswa berasaskan komposisi kaum, sebanyak 60% daripada jumlah biasiswa yang disediakan. Di bawah kategori ini, pemilihan adalah berdasarkan kecemerlangan akademik (75%), ko-kurikulum (10%), latar belakang sosioekonomi keluarga             (10%) dan temuduga (5%). Pembahagian baisiswa adalah mengikut peratusan komposisi rakyat Malaysia;

(iii)       Kategori 3 – Biasiswa untuk kamum Bumiputera Sabah dan Sarawak sebanyak 10% daripada jumlah biasiswa yang disediakan. Penajaan untuk kaum Bumiputera Sabah dan Sarawak adalah berdasarkan agihan 5% untuk Bumiputera Sabah dan 5% untuk Bumiputera Sarawak. Pemilihan adalah berdasarkan kecemerlangan akademik (65%), kokurikulum (5%), latar belakang sosioekonomi keluarga (25%) dan temuduga (5%).

(iv)       Kategori 4 – Biasiswa untuk golongan socially disadvantaged, sebanyak 10% daripada jumlah biasiswa yang disediakan. Penajaan adalah untuk pelajar-pelajar dari sekolah-sekolah yang mempunyai kemudahan dan suasana pembelajaran yang terhad dan daripada keluarga yang berpendapatan rendah. Pemilihan adalah berdasarkan kecemerlangan akademik (65%), kokurikulum (5%), latar belakang sosioekonomi keluarga (25%) dan temuduga (5%).

Sekian, terima kasih.

 

——————————————————————————————————————————

 

 

NO. SOALAN : 34

 

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN BAGI JAWAB

LISAN DEWAN RAKYAT

 

PERTANYAAN       :           LISAN

DARIPADA               :           PUAN NURUL IZZAH BINTI ANWAR

                                                      [ LEMBAH PANTAI ]

TARIKH                     :           12 OKTOBER 2011

RUJUKAN                 :           4088

 

SOALAN                    :

 

PUAN NURUL IZZAH BINTI ANWAR [ Lembah Pantai ] minta PERDANA MENTERI menyatakan jumlah permohonan kewarganegaraan baru yang telah diluluskan mengikut kawasan Parlimen dari Tahun 2008 hingga sekarang.

JAWAPAN :

 

Tuan Yang Di-Pertua,

Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Lembah Pantai yang mengemukakan pertanyaan.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormt, jumlah permohonan taraf kewarganegaraan yang diluluskan daripada tahun 2008 sehingga Ogos 2011 adalah sebanyak 27,293 permohonan. Walau bagaimanapun, rekod berkaitan jumlah permohonan kewarganegaraan baru yang diluluskan mengikut kawasan Parlimen seperti yang dipohon oleh Ahli Yang Berhormat tidak disimpan oleh Kementerian ini.

——————————————————————————————————————————

 

NO. SOALAN : 20

 

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT

 

PERTANYAAN        :           LISAN

DARIPADA                :           Y.B PUAN NURUL IZZAH BINTI ANWAR

                                                        (LEMBAH PANTAI)

TARIKH                     :            13.10.2011

                                                       (KHAMIS)

 

SOALAN                    :

 

Minta MENTERI PERTAHANAN menyatakan :-

(a)        jumlah kos projek sebenar Network Centric Operations (NCO) Angkatan Tentera Malaysia yang dianugerahkan kepada Syarikat Sapura Secured Technologies Sdn. Bhd. dan mengapa ia dianugerahkan menerusi tender terus; dan

(b)        kenapa ‘roadmap’ dan juga ‘Keperluan Staf Am’, KESAM (general service requirement, GSR) tidak ditetapkan sebelum projek diluluskan.

JAWAPAN :

 

Tuan Yang Di-Pertua,

            Program Pembangunan Network Centric Operations dirancang untuk dilaksanakan secara berfasa, bermula dari RMK-10 sehingga RMK-13 iaitu dalam tempoh 20 tahun. Buat masa ini, Syarikat Sapura Secured Technologies Sdn Bhd diberi tanggungjawab untuk membangunkan Program Pembangunan NCO ATM Fasa 1A yang melibatkan kos sebanyak RM 140 juta bagi tempoh dua (2) tahun. Bagi pembangunan fasa-fasa seterusnya adalah bergantung kepada prestasi dan kejayaan di dalam pembangunan Fasa 1A ini, Syarikat Sapura telah dipilih sebagai Peneraju Utama Program Pembangunan NCO ATM adalah berdasarkan kepada beberapa factor seperti kepakaran dan pengalaman yang luas dalam bidang pertahanan, keselamatan dan teknologi maklumat.

Tuan Yang di-Pertua,

            Roadmap untuk pembangunan NCO dirancang seiring dengan Pelan Pembangunan 5 tahun Rancangan Malaysia (RMK) dalam empat (4) fasa iaitu ;

            (1)        Fasa 1  (Tahun 2011-2015)

            (2)        Fasa 2  (Tahun 2016-2020)

            (3)        Fasa 3  (Tahun 2021-2025)

            (4)        Fasa 4  (Tahun 2026-2030)

            Perlu ditegaskan bahawa Program Pembangunan NCO ATM merupakan satu program pembangunan keupayaan (capability development) di mana ia sentiasa berubah mengikut keperluan dan input baru daripada setiap perkhidmatan. Oleh itu, segala keperluan hardware dan software tidak dapat dikenal pasti secara mudah dan memerlukan kajian serta perbincangan secara berterusan di antara pihak Tim Projek dan perkhidmatan.

——————————————————————————————————————————


PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT

 

PERTANYAAN :        LISAN

DARIPADA        :        PUAN NURUL IZZAH BINTI ANWAR

                                             [ LEMBAH PANTAI ]

TARIKH              :        25 OKTOBER 2011 (SELASA)

SOALAN

 

Puan Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] minta PERDANA MENTERI menyatakan :

(a)     Perincian model landasan dan hartanah selaku cara pembiayaan projek MRT; dan

(b)     Senarai tanah-tanah yang akan diambil alih bagi melancarkan model landasan dan hartanah ini dan jumlah yang dibelanjakan bagi maksud ini.


JAWAPAN:        YB DATUK HAJI AHMAD BIN HAJI MASLAN

                                   TIMBALAN MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI

Tuan Yang di-Pertua,

Model “rel dan hartanah” adalah satu cara pembiayaan pembangunan keretapi yang telah dilaksanakan dengan berjayanya di beberapa negara seperti Hong Kong dan Singapura. Model “rel dan hartanah” merangkumi semua pendekatan di mana tanah yang digunakan untuk pembangunan sistem keretapi seperti MRT dapat di optimakan dari segi penggunaan dan nilai dan memberi manfaat yang dapat disalurkan kembali kepada projek untuk mengurangkan ataupun membiayai sepenuhnya kos pembangunan sistem keretapi tersebut. Satu contoh perlaksanaan model tersebut adalah di stesen bawah tanah di mana tanah terpaksa diambil balik untuk keperluan pembinaan. Setelah stesen tersebut siap dibina, tanah di atas stesen tersebut boleh dibiarkan kosong sahaja, ataupun boleh dioptimakan dengan pembangunan lot-lot kedai ataupun unit kediaman. Pendapatan dari jualan ataupun sewaan lot-lot dan unit-unit tersebut akan dapat mengurangkan kos pembangunan dan operasi sistem MRT tersebut, sekaligus mengurangkan beban pembayar cukai.

Ingin saya tegaskan bahawa pembangunan “rel dan hartanah” hanya dapat dilaksanakan di atas tanah yang diambil untuk keperluan sistem keretapi. Akta Pengambilan Tanah 1960 tidak akan membenarkan pengambilan tanah yang lebih daripada yang diperlukan untuk pembangunan MRT.

Terdapat situasi di mana terdapat tanah kerajaan yang terletak bersebelahan dengan stesen MRT yang terbiar ataupun tidak digunakan secara optima. Tanah tersebut dapat dibangunkan bersama sistem MRT untuk pembangunan yang berorientasikan pengangkutan awam ataupun transit oriented development. Terdapat juga situasi di mana tanah persendirian dibeli untuk tujuan “rel dan hartanah”. Untuk kes-kes begini, tanah persendirian tersebut hanya boleh diperolehi dengan cara “willing buyer-willing seller”.

Pada masa ini, tanah untuk pembangunan “rel dan hartanah” belum dipastikan lagi.

Sekian, terima kasih.

——————————————————————————————————————————

SOALAN ( 24 )

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN

DEWAN RAKYAT, MALAYSIA


PERTANYAAN   :         LISAN

TARIKH               :         2 NOVEMBER 2011 ( RABU )

DARIPADA          :        Y.B. PUAN NURUL IZZAH BINTI ANWAR [ LEMBAH PANTAI ]

SOALAN  :-

Y.B. PUAN NURUL IZZAH BINTI ANWAR [ LEMBAH PANTAI ] minta MENTERI PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN menyatakan dasar Kementerian untuk menggelakkan fenomena peminggiran Melayu bandar (ghettotization), terutamanya apabila dilihat skim perumahan rumah kos rendah yang sering dibina di kawasan kurang sesuai dan berkualiti rendah berbanding pembangunan di kawasan lain.

JAWAPAN  :-

Tuan Yang DiPertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, fenomena peminggiran Melayu bandar seperti mana yang dinyatakan tidak berlaku. Oleh itu, ianya tidak memerlukan Kerajaan untuk melaksanakan atau mewujudkan satu mekanisme khusus dalam menangani perkara ini.

Kerajaan sentiasa prihatin dengan keperluan perumahan semua golongan kaum. Ini dapat dilihat melalui pelaksanaan pelbagai projek perumahan oleh Kerajaan di kawasan-kawasan bandar seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR). Projek perumahan kos rendah ini dibina di kawasan-kawasan strategik di bandar-bandar bagi memastikan golongan berpendapatan rendah sentiasa mempunyai akses kepada kediaman dan kemudahan awam yang berkualiti. Selain itu, spesifikasi dan pembinaan projek perumahan kos rendah adalah mengikut segala peraturan dan standard yang berkuatkuasa bagi menjamin kualiti rumah yang dibina, di samping ianya dilengkapi dengan kemudahan asas yang mencukupi bagi menjamin keselesaan penghuni dan penduduk sekitarnya.

Pembinaan rumah-rumah kos rendah awam dan swasta oleh pemaju-pemaju merupakan salah satu daripada tanggungjawab sosial dalam usaha memenuhi keperluan perumahan golongan berpendapatan rendah dan setinggan. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kos sebenar untuk membina seunit rumah kos rendah adalah di antara RM80,000 sehingga RM120,000. Walau bagaimanapun, sebagai sebuah Kerajaan yang sentiasa memikirkan kebajikan golongan berpendapatan rendah, Kerajaan menetapkan harga jualan pada paras harga RM42,000 bagi Semenanjung Malaysia dan RM50,400 bagi Sabah dan Sarawak. Ini bermakna Kerajaan menanggung kos pembinaan setiap unit di antara RM38,000 dan RM78,000.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, Kerajaan turut memperkenalkan Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) bagi memenuhi keperluan kediaman golongan berpendapatan sederhana di kawasan bandar-bandar utama seperti di Lembah Klang dan Pulau Pinang. Ini menunjukkan bahawa Kerajaan sentiasa prihatin dengan keperluan perumahan golongan berpendapatan rendah dan sederhana melalui inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan.

Kementerian Perumahan

dan Kerajaan Tempatan

 November 2011

——————————————————————————————————————————

SOALAN NO:  30

 

 

PEMBERITAHU PERTANYAAN

DEWAN RAKYAT, MALAYSIA

                                                                                 

 

 

PERTANYAAN              :      LISAN

 

DARIPADA                     :      YB. PUAN NURUL IZZAH BINTI ANWAR

                                                    [ LEMBAH PANTAI ]

 

TARIKH                           :      KHAMIS, 3 NOVEMBER 2011

 

RUJUKAN                       :      05 [PR-1243-L46458]

SOALAN           : 

 

Puan Nurul Izzah Binti Anwar [ Lembah Pantai ] minta MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN DAN KESEJAHTERAAN BANDAR menyatakan :-

(a)      jumlah dana yang telah digunakan oleh Menteri daripada sumber DBKL dari 2008 hingga akhir bulan Ogos 2011. Nyatakan mengikut organisasi penerima dan alasan penggunaan; dan

(b)      pecahan penggunaan dana mengikut kawasan Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat dari Lembah Pantai, selain hasil utama daripada cukai taksiran, caj pembangunan dan bayaran lesen, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga turut menerima peruntukan khas daripada Kerajaan Persekutuan yang disalurkan melalui Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) setiap tahun.

Peruntukan khas ini bagi menggantikan ’capitation grant’ yang disalurkan kepada DBKL sebagai salah satu agensi yang melaksanakan fungsi-fungsi dan peranan KWPKB. Program dan aktiviti yang dilaksanakan termasuklah menyalurkan bantuan secara terus kepada penduduk pelbagai kaum yang menghadapi masalah kehidupan seperti bantuan perubatan, pendidikan, kehilangan upaya dan sara hidup tanpa mengira kawasan Parlimen dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Di samping itu, pihak-pihak lain yang menerima sumbangan melalui peruntukan khas ini termasuklah persatuan-persatuan penduduk, badan-badan bukan Kerajaan, badan-badan belia, persatuan-persatuan mahasiswa, kelab-kelab sukan dan kebajikan, rukun tetangga, badan-badan keagamaan, Majlis Keselamatan Jalan Raya, yayasan dan PIBG sekolah untuk menjalankan aktiviti-aktiviti yang memberi impak kepada wargakota seperti program hari perayaan (Hari Raya, Hari Depavali dan Tahun Baru Cina), menjalankan kursus, seminar dan bengkel untuk belia dan mahasiswa serta mengadakan lawatan sambil belajar.

Dengan ini, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar tidak menggunakan sumber kewangan daripada DBKL dalam melaksanakan program dan aktiviti, sebaliknya memanfaatkan peruntukan khas tersebut bagi melaksanakan program dan aktiviti untuk kepentingan wargakota. Peruntukan khas yang telah dibelanjakan mulai tahun 2009 hingga 2011 (22.09.2011) adalah sebanyak RM4,493,211.25 yang melibatkan sebanyak 923 program dan aktiviti.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, pada tahun 2011, Wilayah Persekutuan Putrajaya mendapat peruntukan sejumlah RM1,500,000.00 di bawah peruntukan YB Menteri.  Kelulusan dan pengagihan peruntukan dibuat berdasarkan kepada permohonan dan keperluan penduduk-penduduk di Wilayah Persekutuan Putrajaya melalui Majlis Perwakilan Kesejahteraan Bandar.  Manakala bagi Wilayah Persekutuan Labuan pula, peruntukan yang diluluskan sehingga 31 Ogos 2011 ialah sebanyak RM140,510.

 ——————————————————————————————————————————

                                                                             No. Soalan : 6

 

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN BAGI JAWAB LISAN

DEWAN RAKYAT

 

 

PERTANYAAN           :    JAWAB LISAN

 

DARIPADA                  :    YB PUAN NURUL IZZAH BINTI ANWAR [ LEMBAH PANTAI ]

 

TARIKH                        :    8 NOVEMBER 2011

 

SOALAN                    :    YB Puan Nurul Izzah Binti Anwar  [Lembah Pantai] minta MENTERI LUAR NEGERI menyatakan tahap persediaan serta langkah-langkah persiapan yang diambil bagi setiap kedutaan, Pejabat Suruhanjaya Tinggi dan Konsulat Malaysia di seluruh dunia untuk memastikan semua warganegara Malaysia luar negara mendapat hak mengundi serta proses pengendalian kertas undi bagi pengundi luar negara. 

JAWAPAN:

Tuan Yang di-Pertua,

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Lembah Pantai atas soalan yang telah dikemukakan.

  1. Sebagai makluman Dewan Yang Mulia ini, Perwakilan-perwakilan Malaysia di luar negeri sentiasa  beriltizam memastikan hak warganegara Malaysia di luar negara dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai pemilih berdaftar sentiasa terjamin
  2. Kementerian ini bertindak bagi pihak Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR), akan senantiasa bekerjasama bagi memastikan Borang Pendaftaran Pemilih (Borang A) yang mencukupi dibekalkan kepada kesemua Kedutaan Besar, Suruhanjaya Tinggi, Konsulat Jeneral dan Konsulat Malaysia di luar negeri. Perwakilan-perwakilan Malaysia di luar negeri selaku Penolong Pendaftar Pemilih di luar negeri akan secara berterusan membantu SPR dalam urusan pendaftaran pemilih bagi warganegara Malaysia yang layak di luar negara berlandaskan kepada Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh berkenaan kelayakan sebagai pemilih dan Peraturan-Peraturan Pilihanraya mengenai Pendaftaran Pemilih.
  3. Perwakilan-perwakilan Malaysia juga senantiasa memastikan semua butiran peribadi bagi warganegara Malaysia  termasuk yang telah berdaftar sebagai pengundi tidak hadir yang menetap di luar negeri dikemaskinikan yang mengandungi maklumat lengkap seperti alamat tempat tinggal dan nombor perhubungan di negara-negara berkenaan. Sebagaimana Dewan Yang Mulia ini sedia maklum, kerajaan telah memberi peringatan betapa perlunya warganegara Malaysia yang berhasrat atau sememangnya menetap di luar negeri untuk mendaftarkan diri dengan Perwakilan Malaysia yang berhampiran.
  4. Apabila berlakunya suatu Pilihanraya, Kementerian Luar Negeri akan memastikan sampul-sampul dan kertas undi pos bagi pemilih yang berdaftar sebagai pengundi tidak hadir dihantar kepada Perwakilan-Perwakilan yang berkaitan sebaik sahaja diterima daripada SPR. Perwakilan-Perwakilan seterusnya akan menghubungi pemilih-pemilih yang berkenaan bagi urusan penyerahan sampul-sampul dan kertas undi.
  5. Kesimpulannya, Kementerian Luar Negeri menyarankan kepada semua rakyat Malaysia yang layak di luar negeri untuk mendaftarkan diri sebagai pemilih di Perwakilan – Perwakilan  Malaysia bagi memastikan hak sebagai warganegara Malaysia untuk melaksanakan tanggungjawab mendaftar sebagai pemilih adalah terjamin.

Sekian, terima kasih.

 ——————————————————————————————————————————

NO. SOALAN:  37

 

 

PEMBERITAHU PERTANYAAN DEWAN RAKYAT

                                                                                 

PERTANYAAN   :      LISAN

DARIPADA       :      PUAN NURUL IZZAH BINTI ANWAR

                                     [ LEMBAH PANTAI ]

TARIKH            :      9 NOVEMBER 2011 (ISNIN)

 

SOALAN           : 

 

Puan Nurul Izzah Binti Anwar [ Lembah Pantai ] minta PERDANA MENTERI menyatakan status kesihatan beliau dan Timbalan Perdana Menteri serta kos rawatan di dalam dan luar negara yang telah dibelanjakan untuk penjagaan kesihatan kedua-duanya sejak 2008 sehingga sekarang.

 

JAWAPAN :

 

Tuan Yang di-Pertua,

 

Status kesihatan YAB Perdana Menteri dan YAB Timbalan Perdana Menteri adalah baik dan kedua-duanya telah berjaya menjalankan tugas yang diamanahkan dengan cekap dan membanggakan.

Untuk makluman Yang Berhormat, YAB Perdari Menteri dan YAB Timbalan Perdana Menteri layak diberi kemudahan rawatan dan perubatan secara percuma, dikecualikan daripada bayaran wad di hospital-hospital serta klinik Kerajaan dan sekiranya rawatan dan perubatan tidak dapat dibekalkan atau disediakan oleh hospital Kerajaan, perbelanjaan tersebut akan dibiayai oleh Kerajaan atas perakuan pegawai perubatan Kerajaan.

Jika diperlukan, YAB Perdana Menteri dan YAB Timbalan Perdana Menteri juga layak mendapat kemudahan rawatan khas di luar negara Malaysia dengan perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan.

Walau bagaimanapu, berdasarkan rekod, selain kelayakan kemudahan perubatan secara percuma di hospital-hospital serta klinik Kerajaan, tiada sebarang tuntutan dibuat oleh YAB Perdana Menteri kepada Kerajaan bagi membiayai kos perkhidmatan kesihatan beliau dan ahli keluarga yang layak sama ada di dalam mahupun di luar negara. Manakala hanya RM21,700.10 sahaja yang dituntut oleh YAB Timbalan Perdana Menteri bagi sejak 2008 sehingga sekarang bagi rawatan yang diterima di Pantai Hospital Kuala Lumpur.

Sekian, terima kasih.

——————————————————————————————————————————

 

SOALAN NO:  282

 

PARLIMEN MALAYSIA

 PERTANYAAN DEWAN RAKYAT

                                                                                 

PERTANYAAN         : BERTULIS

DARIPADA              : PUAN NURUL IZZAH BINTI ANWAR

                                       [ LEMBAH PANTAI ]

TARIKH                    : BERTULIS

SOALAN                   : Puan Nurul Izzah binti Anwar [ Lembah Pantai ]  minta MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI menyatakan ;

(a)        Jumlah kes deraan haiwan peliharaan dari 2005 hingga 2010 dan langkah-langkah yang diambil Kementerian bagi undang-undang sedia ada bagi memastikan kejadian deraan dapat diatasi; dan

(b)        Sama ada undang-undang sedia ada bagi mempertahankan hak haiwan peliharaan serta pemilik haiwan berkenaan adalah mencukupi

JAWAPAN OLEH : Y.B MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI

 

Daripada tahun 2005 hingga 2010, Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah menjalankan 60 siasatan kes berhubung kezaliman terhadap haiwan. Daripada jumlah ini, enam(6) kes telah dibawa ke Mahkamah dan lima(5) diantaranya diselesaikan dan disabitkan dengan denda sebanyak RM 690.00. Kes yang disiasat kebanyakannya merupakan haiwan yang ditinggalkan tanpa penjagaan dan siasatan lanjut mendapati tiada tanda-tanda kukuh untuk mengaitkan haiwan yang disiasat telah dizalimi.

Bagi memastikan kebajikan haiwan terus terpelihara, Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah mengambil langkah-langkah pencegahan yang antaranya:

(a)        menjalankan kempen kesedaran awam terhadap keperluan menjaga kebajikan haiwan semasa berlangsungnya Karnival Haiwan serta ketika penganjuran Malaysia Agriculture, Horticulture & Agrotourism (MAHA) diadakan.

(b)        Menjalankan 3,368 pemeriksaan terhadap premis penjualan haiwan kesayangan serta tempat-tempat yang diadukan berhubung berlakunya kezaliman pada haiwan semenjak 2005 hingga 2010.

(c)         Menerbitkan buku Garis Panduan Penangkapan dan Pelupusan Anjing Terbiar (Mei 2008).

Hak serta kebajikan terhadap haiwan dikuatkuasakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar melalui Akta Binatang 1953. Penalti bagi kesalahan melakukan kezaliman terhadap haiwan di bawah Akta pada masa ini adalah tidak memadai dan ianya sedang diberi perhatian untuk proses pindaan.

 

—————————————————————————————————————————