Skip to main content
Soalan Parlimen

Soalan Parlimen sesi Oktober 2011

By 13 September, 2011February 5th, 2021No Comments

1. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] minta Perdana Menteri menyatakan:
a) perincian model landasan dan hartanah selaku cara pembiayaan projek MRT.
b) senarai tanah-tanah yang akan diambil alih bagi kelangsungan model landasan dan hartanah ini dan jumlah yang dibelanjakan bagi maksud ini.

2. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar menyatakan:
a)  jumlah dana yang telah digunakan oleh Menteri daripada sumber DBKL dari 2008 hingga akhir bulan Ogos 2011. Sila nyatakan mengikut organisasi penerima dan alasan penggunaan.
b) pecahan penggunaan dana mengikut kawasan parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

3. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Luar Negeri menyatakan tahap persediaan serta langkah-langkah persiapan yang diambil bagi setiap Kedutaan, Pejabat Suruhanjaya Tinggi, dan Konsulat Malaysia di seluruh dunia untuk memastikan semua warganegara Malaysia luar negara mendapat hak mengundi, serta proses pengendalian kertas undi bagi pengundi luar negara.

4. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] minta Perdana Menteri menyatakan:
a) milik siapa pesawat Airbus A319-IIX yang digunakan semasa percutian YAB Perdana Menteri di Perth, Australia serta kekerapan penggunaan pesawat dan kos terbabit.
b) tindakan diambil terhadap dakwaan salahlaku pembelian T91 “polish tanks” dan “SU-30 Russian aircraft” didedahkan Wikileaks.

5. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Pertahanan menyatakan:
a) jumlah kos projek sebenar ‘Network Centric Operations’ (NCO) Angkatan Tentera Malaysia yang dianugerahkan kepada syarikat Sapura Secured Technologies Sdn Bhd dan mengapa ia dianugerahkan menerusi tender terus.
b) kenapa “roadmap” dan juga ‘Keperluan Staf Am’, KESAM (general service requirement, GSR) tidak ditetapkan sebelum projek diluluskan.

6. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Pelajaran menyatakan:
a) rasional polisi sekolah vokasional yang membabitkan pelajar yang mempunyai keperluan khas, adakah benar ia hanya sampai ke peringkat tingkatan 3 sahaja.
b) mengapa ia tidak diteruskan sehingga tingkatan 5.

7. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Pengajian Tinggi menyatakan:
a) jumlah staf akademik Universiti Malaya yang telah melepaskan jawatan di universiti tersebut dari tahun 2006-2010 mengikut jabatan. Sila nyatakan sebab mereka melepaskan jawatan.
b) adakah UM berhadapan dengan krisis kekurangan staff akademik berikutan peletakan jawatan mereka.

8. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan menyatakan rasional Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan mengadakan projek pembinaan hotel sekitar Angkasapuri, kos pembinaan hotel tersebut serta adakah projek diberi secara tender terbuka ataupun tidak.

9. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menyatakan:
a) jumlah kes deraan haiwan peliharaan dari 2005 hingga 2010, dan langkah-langkah yang diambil Kementerian bagi memastikan kejadian deraan dapat diatasi.
b) sama ada undang-undang sedia ada bagi mempertahankan hak haiwan peliharaan serta pemilik haiwan berkenaan adalah mencukupi.

10. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar menyatakan dasar kerajaan untuk mengelakkan fenomena peminggiran Melayu bandar (“ghettoization”), terutamanya apabila dilihat skim perumahan rumah kos rendah yang sering dibina di kawasan kurang sesuai dan berkualiti rendah berbanding pembangunan di kawasan lain.

11. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Pelajaran menyatakan:
a) rasional pemberian 50 biasiswa elit Jabatan Perkhidmatan Awam kepada mahasiswa-mahasiwi yang sedang melanjutkan pengajian di universiti-universiti terkemuka dunia.
b) adakah pemberian 50 biasiswa ini mendiskriminasi pelajar-pelajar lepasan SPM yang tidak berkemampuan walaupun mempunyai keputusan cemerlang.

12. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] minta Perdana Menteri menjelaskan status kesihatan beliau dan Timbalan Perdana Menteri serta kos rawatan di dalam dan luar negera yang telah dibelanjakan untuk penjagaan kesihatan kedua-duanya sejak 2008 sehingga sekarang.

13. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] minta Perdana Menteri menjelaskan elaun-elaun yang diterima oleh Perdana Menteri dan isteri. Sila nyatakan mengikut alasan penggunaan dari tempoh 2008 hingga 2011.

14. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] minta Perdana Menteri menyatakan berapa banyak program-program rasmi dilaksanakan di kediaman rasmi Perdana Menteri, Seri Perdana dari tahun 2008 hingga 2011 dan nyatakan jumlah perbelanjaan yang ditanggung oleh kerajaan.

15. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan jumlah permohonan kewarganegaraan baru yang telah diluluskan mengikut kawasan parlimen dari tahun 2008 hingga sekarang.