Skip to main content
Parliament

Ucapan Penangguhan YB Nurul Izzah Anwar- Ahli Parlimen Lembah Pantai

By 27 June, 2011February 18th, 2020No Comments

27 Jun 2011

Saya membawa perhatian dewan kepada kes melibatkan remaja Sabah berumur 22 tahun, Yong Vui Kong, yang ditangkap pada usia 19 tahun kerana memiliki 47.27 gram heroin di Singapura pada 13 Jun 2007.

Vui Kong dijatuhkan hukuman gantung pada 7 Januari 2009, dibawah Seksyen 5 (1)(a) Akta Penyalahgunaan Dadah Singapura dan kini sedang menanti pelaksanaan hukuman gantung tersebut.

Disebalik cercaan terhadap beliau, dilempar tuduhan selaku seorang pengedar dadah, Vui Kong sebenarnya merupakan mangsa keadaan, kemiskinan dan keruntuhan institusi keluarga.

Ketika berumur tiga tahun, ibu bapa Vui Kong bercerai, dan ibunya mengalami tekanan mental. Pada masa itu, Vui Kong masih seorang kanak-kanak dan terpaksa melalui pelbagai peristiwa menyedihkan.

Beliau terpaksa bekerja di ladang kelapa sawit datuknya selepas sekolah, dibelasah seandainya terlewat pulang.  Untuk memperbaiki kehidupan ibu dan dirinya, Vui Kong meninggalkan rumah pada usia 12 tahun, dan 3 tahun kemudian tiba di kota Kuala Lumpur sebatang kara. Kerana tidak tahan didera dan dihina, beliau berhenti kerja sebagai tukang masak dan menjadi ahli persatuan kongsi gelap, yang mengheret beliau untuk melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang.

Malangnya, penderitaan Vui Kong tidak terhenti di situ. Beliau sekali lagi gagal diberikan keadilan apabila melalui perbicaraan yang tempang.

Empat hari sebelum penghakiman Mahkamah Rayuan pada 9 Mei 2010, Menteri Perundangan Singapura, K Shanmugam secara terbuka berkata, “Yong Vui Kong (yang dijatuhkan hukuman mati kerana mengedar 47 gram heroin) sangat muda.  Tetapi, seandainya kami melepaskan dia (Yong), apakah mesej yang kami sampaikan?  Kami menyampaikan satu mesej kepada pengedar dadah asing, pastikan anda memilih seorang pemuda, atau seorang ibu kepada anak sebagai mangsa anda, dan peralatkan mereka untuk membawa masuk dadah ke Singapura.”

K Shanmugam menambah, ini kerana orang sedemikian akan mencungkil simpati orang ramai jikalau ditangkap. “Seandainya kami tidak melaksanakan undang-undang, kita gagal menghalang kemasukan orang-orang ini.”

Saya tidak mempertikaikan pelaksanaan undang-undang Singapura; yang dibantah adalah ketidakadilan di dalam proses perbicaraan Vui Kong.

Kenyataan Menteri Perundangan Singapura ini dibuat sedang permohonan pengampunan belum difailkan lagi. Jelas sekali, kes Vui Kong telah tercemar dengan prasangka ini.

Kenyataan Menteri Singapura ini telah menafikan hak Vui Kong untuk memohon pengampunan Presiden.  Ini kerana persetujuan jemaah menteri diperlukan sebelum permohonan pengampunan dikemukakan. Malangnya, kenyataan terbuka Menteri Perundangan telah mengikat keputusan terhadap Vui Kong.

Kegagalan melaksanakan keadilan juga berlaku kerana Ketua Hakim Singapura sedia ada, telah semasa beliau menjadi Peguam Negara, memberi pendapat bahawa Presiden Singapura tidak mempunyai hak untuk memberi pengampunan, tetapi bertindak di atas nasihat kabinet Singapura.

Sehubungan itu, saya yang mewakili Dewan Rakyat yang mulia ini merayu kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi memberi peluang kedua kepada Vui Kong untuk kesnya dipertimbangkan atas meritnya sendiri dan melalui proses perundangan dan pengampunan yang adil.

Kerajaan Malaysia perlu campur tangan dalam kes ini, untuk memastikan kezaliman tidak berlaku kepada rakyat Malaysia di negara asing.

Ini bukan satu pilihan tetapi satu kewajipan dalam melunaskan hak Vui Kong yang terakhir. Saya  menyeru agar kerajaan Malaysia menghentikan hukuman ini yang telah dijatuhkan tanpa keadilan sepenuhnya dengan memfail kes ini ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk mendapat keputusan ICJ mengenai kuasa Presiden Singapura untuk mengampunkan seorang banduan.

Kerajaan Malaysia mampu melunaskan tanggungjawab ini. Pada tahun 2008, kerajaan Malaysia bersama dokongan Parti Islam Semalaysia (PAS) bertungkus lumus, melakukan segala yang mampu untuk menyelamatkan Umi Azlim Mohamad Lazim yang dijatuhkan hukuman mati kerana mengedar heroin yang seberat 2.9 kilogram.  Akhirnya, Mahkamah Tinggi di Guangzhou meringankan hukuman mati kepada penjara seumur hidup.

Sehubungan dengan itu saya dan ramai ahli-ahli Dewan Rakyat yang mulia ini merayu kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar dapat melaksanakan tindakan yang betul dengan mengikut saluran undang-undang antarabangsa  bagi menuntut keadilan untuk Vui Kong serta rakyat Malaysia yang percaya kepada peluang kedua untuk setiap insan.

Nurul Izzah Anwar

Ahli Parlimen Lembah Pantai

—————————————————————————————

Jawapan Timbalan Menteri Luar Negeri II berkenaan Kes Yong Vui Kong

Timbalan Menteri Luar Negeri II [Datuk Richard Riot anak Jaem]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Yang Berhormat Lembah Pantai di atas perkara yang telah dibangkitkan untuk ucapan penangguhan ini. Tuan Yang di-Pertua, sebagaimana Dewan yang mulia ini sedia maklum, Encik Yong Vui Kong telah ditangkap dan didapati bersalah atas tuduhan mengedar dadah di bawah seksyen 5(1A) Misused of Drugs Act Singapura dan telah dijatuhkan hukuman mandatory gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada 14 November 2008.

Encik Yong Vui Kong telah membuat permohonan kepada Kerajaan Malaysia untuk merayu kepada Kerajaan Republik Singapura bagi mengurangkan hukuman yang telah dikenakan ke atas beliau. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, Menteri Luar Negeri telah antara lain menyerahkan surat kepada Kerajaan Singapura memohon agar hukuman ke atas Encik Yong Vui Kong dapat diringankan atas dasar kemanusiaan. Surat tersebut telah diserahkan kepada Tuan Yang Terutama George Yeo iaitu Menteri Luar Negeri Republik Singapura ketika itu pada 20 Julai 2010 semasa Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN di Hanoi, Vietnam. Pada 30 Julai 2010, Menteri Luar Republik Singapura telah menjawab permohonan Kerajaan Malaysia dengan menyatakan bahawa Kerajaan Singapura akan mengambil kira semua factor serta dokumen-dokumen sokongan sebelum membuat sebarang keputusan dibuat mengenai kes tersebut.

Tuan Yang di-Pertua, hasil daripada itu, pihak Perkhidmatan Penjara Singapura, Kementerian Dalam Negeri Singapura telah mengutus surat kepada peguam Yong Vui Kong pada 8 April 2011 dan juga pada 20 Mei 2011 supaya mengemukakan permohonan rayuan pengampunan atau petition for clemency kepada Presiden Singapura untuk dipertimbangkan. Pada 24 Jun 2011, pihak Perkhidmatan Penjara Singapura, Kementerian Dalam Negeri Singapura telah sekali lagi memaklumkan peguam Yong Vui Kong bahawa mereka dikehendaki mengemukakan permohonan rayuan pengampunan atau petition for clemency kepada Presiden selewat-lewatnya pada 7 Julai 2011. Sehingga kini, difahamkan pihak peguam Yong Vui Kong belum lagi mengemukakan permohonan rayuan pengampunan atau petition for clemency kepada Presiden Singapura.

Tuan Yang di-Pertua, Kerajaan Malaysia berpendirian bahawa pengedaran dadah adalah satu kesalahan yang sangat serius dan yang boleh membawa kepada hukuman mandatory gantung sampai mati sekiranya disabitkan kesalahan tersebut oleh mahkamah. Gejala pengedaran dadah dan penyalahgunaan dadah adalah sebagai salah satu musuh utama dan ancaman terhadap keselamatan Negara.

Sebagai sebuah Negara yang berprinsip, Malaysia berpegang teguh kepada prinsip menghormati kedaulatan sesebuah Negara dan undang-undang antarabangsa. Secara amnya, Malaysia juga berpegang teguh kepada prinsip tidak campur tangan dalam urusan dalaman sesebuah Negara, baik dari segi politik mahupun sistem perundangan tempatan.

Dalam kes ini Tuan Yang di-Pertua, Kerajaan Malaysia tetap teguh dengan hakikat bahawa Mahkamah Keadilan Antarabangsa atau ICJ tidak mempunyai bidang kuasa ke atas kes ini kerana ia melibatkan urusan berkaitan undang-undang antarabangsa. Kerajaan Malaysia amat prihatin terhadap nasib dan kebajikan rakyat Malaysia yang berada di luar Negara.

Adalah menajdi tanggungjawab kerajaan untuk membantu rakyat Malaysia yang berada di dalam kesusahan atau mengalami kesulitan semasa berada di luar Negara. Apabila seseorang rakyat Malaysia menghadapi pertuduhan jenayah di luar Negara, Kerajaan Malaysia akan berusaha untuk memastikan hak-hak asasi rakyat kita dilindungi.

Sebagaimana yang diperuntukkan di bawah undang-undang tempatan Negara tersebut dan juga di bawah undang-undang antarabangsa seperti Konvensyen Vienna mengenai hubungan Konsular 1963, (Vienna Convention on Consular Relations 1963). Dengan itu sekian, terima kasih.